Selain dari Joyami Smart Rice Cooker S1, Joyami by Tokit turut perkenalkan dapur elektrik pintar iaitu Joyami Smart Cooktop. Ia juga boleh dikawal menggunakan aplikasi Mi Home dalam telefon. Dapur ini dikatakan mempunyai banyak mod masakan dan suhu kepanasan sehingga tahap ke-99, bukan 99 darjah celcius tapi kepanasan yang sangat tinggi namun bebas asap. Semuanya boleh dikawal melalui telefon.
Saya telah gunakannya hampir tiga minggu. Untuk reviu ini saya nak kongsikan sejauh mana pintarnya Joyami Smart Cooktop, perkara yang menarik tentangnya dan kelemahan yang saya jumpa. Agaknya, boleh tak dapur ini masak ikan goreng dengan baik tanpa perlu saya berdiri di sebelahnya?
Buka kotak
Dalam kotak Joyami Smart Cooktop, anda akan terima satu dapur elektrik berbentuk bulat. Ia disambungkan dengan wayar plug 3 pin. Pada bahagian atas, anda boleh lihat ada banyak titik-titik, ia merupakan kawasan pemanasan. Periuk perlu diletakkan di atasnya.
Kemudian, di bahagian hadapan sebelah kiri ada satu butang masa. Di tengah pula ada satu tombol untuk laraskan kekuatan kepanasan, tombol ini boleh dipusing. Bahagian depan tombol ada skrin paparan OLED, akan dinyatakan di situ mod memasak serta tahap kepanasan. Kemudian di sebelah kanan ada butang Function. Dua butang kiri dan kanan ini hanya digunakan apabila anda ingin masak secara manual, tanpa guna aplikasi.
Sepanjang saya menggunakan Joyami Smart Cooktop ini, saya gandingkannya bersama Joyami Multi-purpose Chef’s Pan untuk memasak. Kuali ini berharga RM149.
Pengalaman gunakan Joyami Smart Cooktop
Perkara pertama saya lakukan pada dapur pintar ini ialah sambungkan ia kepada WiFi dan aplikasi. Saya muat turun aplikasi Mi Home, kemudian ikut arahan pada skrin. Sangat senang untuk sambungkan dapur ini pada aplikasi.
Ada banyak mod masakan disediakan dalam aplikasi. Contohnya pancake, ayam goreng, stik, mee segera, goreng telur dan banyak lagi. Jika saya nak masak pancake, saya hanya perlu pilih mod Pancake dalam senarai masakan, kemudian ia akan nyatakan anggaran masa memasak dan kuasa kepanasan. Kuasa dan masa boleh diubah. Seperti di bawah, masa anggaran untuk masak pancake ialah 10 minit, tahap kepanasan ialah 30.
Antara masakan yang saya cuba masak dengan bantuan aplikasi ialah pancake melalui mod Pancake, ikan goreng menggunakan mod Deep Fried Fish dan poach egg melalui mod Sous Vide Steak. Cara untuk masak gunakan aplikasi ini ialah:
- Letak semua bahan dalam periuk
- Hidupkan dapur dengan tekan pada tombol.
- Kemudian pilih mod pada aplikasi. Laraskan kepanasan dan tetapkan masa yang diperlukan untuk memasak.
- Masa dan mod yang dipilih akan dipaparkan pada skrin OLED di hadapan tombol. Apabila masakan siap, saya akan terima notifikasi di telefon.
Bagi saya, guna aplikasi untuk masak menu bergoreng memang tidak sesuai, sebab saya perlu pantau makanan dengan kerap untuk elakkan ia dari hangus. Jadi perkara ini sama sahaja apabila saya masak seperti biasa tanpa aplikasi. Tapi, ia mungkin berguna kalau saya tetapkan dapur pada kepanasan yang perlahan.
Contohnya, saya ada cuba masa pancake menggunakan aplikasi. Saya tetapkan masa 5 minit dan kuasa kepanasan 30. Masa dan kuasa kepanasan ini mengikut apa yang dicadangkan di dalam aplikasi itu. Selesai masa yang ditetapkan, tidak bermaksud pancake saya pun siap, sebab ada lagi sebelah bahagian yang perlu di masak. Sama juga apabila saya goreng ikan. Jadi, saya perlu terbalikkan pancake, buka semula aplikasi dan tetapkan kembali mod pancake. Ia memang melecehkan.
Selain itu, saya juga ada cuba masak poach egg dengan menggunakan mod Sous Vide Steak. Ini merupakan salah satu mod menarik dalam senarai. Ia gunakan suhu rendah untuk masak, tapi proses memasak itu sangat lama. Mod ini dikatakan boleh kekalkan nutrisi makanan dan rasa bahan masakan. Bila saya guna mod ini untuk masak poach egg, tahap kepanasan yang dicadangkan dalam aplikasi ialah 20, tempoh masakan pula satu jam.
Hasilnya, telur kuning di dalam masih cair sepenuhnya, tapi bahagian luar tidak dapat dihasilkan dengan baik. Bila saya angkat telur untuk letak atas mangkuk, telur putih jadi hancur. Mungkin suhu kepanasan 20 tidak cukup kuat untuk hasilkan poach egg. Jadi, saya masak telur lain dan cuba kuatkan suhu kepada 30, tapi hasilnya masih sama.
Melaluinya saya dapati bahawa, pengguna perlu tukar suhu mengikut kesesuaian dan tidak boleh bergantung sepenuhnya pada aplikasi. Bagi saya, pemilihan mod tidak penting sangat, cuma pengguna perlu pandai laraskan kekuatan kepanasan dan tempoh masakan, sama seperti menggunakan dapur masak gas dan dapur elektrik lain. Jika tempoh masak terlalu lama dan suhu tinggi, masakan berpotensi menjadi terlebih masak atau kering. Jika suhu rendah dan tempoh masak sekejap, masakan mungkin tidak akan masak sepenuhnya.
Namun, suhu kepanasan sehingga tahap ke-99 itu sangat menarik untuk dikawal. Saya belum pernah jumpa ciri ini di dapur lain. Bayangkan, jika dapur gas biasa, memang susah untuk kawal api, adakalanya apabila api diperlahankan, ia jadi terlalu perlahan. Tapi jika dikuatkan, adakalanya api terlalu besar dan makanan boleh hangus. Dengan ciri ini, saya boleh kawal kepanasan dengan tepat dan mudah. Jika tahap 50 terlalu kuat, saya boleh turunkan ke 49, 48 atau 40. Lagipun, tahap kepanasan ini ada dipaparkan pada paparan di tombol, senang untuk rujuk.
Rumusan
Ada banyak mod masakan disediakan dalam aplikasi ini, bahkan nak panaskan susu bayi pun ada! Tapi, untuk masak menu bergoreng memang tak sesuai guna aplikasi. Lebih baik masak secara manual dan anda tunggu sahaja disebelah makanan. Sebab, bimbang jika makanan tiba-tiba hangus sekiranya guna suhu tinggi atau lambat masak bila suhu perlahan.
Sekiranya mahu gunakan aplikasi, ia sesuai digunakan untuk masak masakan berair contohnya telur rebus dan sup. Sebab dua jenis masakan ini tak perlu dipantau selalu, letak bahan masakan kemudian boleh tinggal sahaja. Bila masakan siap, dapur akan mati sendiri. Anda juga akan dapat notifikasi pada aplikasi. Kalau anda rajin masak sup, anda bolehlah dapatkan Joyami Smart Cooktop dengan harga asal RM399.
Antara dapur pintar Joyami Smart Cooktop dengan periuk nasi pintar Joyami Smart Rice Cooker S1, saya lebih rasa seronok gunakan periuk nasi itu. Sebab ia mudah diguna dan ada ciri jadualkan masakan. Jadi saya boleh sediakan bahan dalam periuk dan tetapkan sahaja bila saya mahu makanan itu siap dimasak. Untuk Smart Cooktop ini, saya belum perlukannya lagi dan saya lebih selesa guna dapur biasa.