Tanda Tambah Pada HTC U11+ Memang Padan Dengannya

HTC hari ini telah melancarkan dua peranti masing-masing satu dalam segmen flagship dan satu lagi kelas pertengahan. Mengepalai dua produk yang dilancarkan HTC pada hari ini adalah HTC U11+ dan mengiringinya adalah HTC U11 Life.

HTC U11+

Pada helaian spesifikasi, ia adalah  sebuah telefon bersaiz 6″ yang memiliki paparan beresolusi QHD (2880×1440). Badan yang besar membolehkan bateri 4,000mAh dimuatkan padanya untuk menjadikan telefon ini antara flagship yang memiliki bateri terbesar dalam pasaran ketika ini.

Pada papan utama, tidak banyak perbezaan boleh diperhatikan berbanding HTC U11 sedia ada. Ia masih dikuasakan Snapdragon 835 bersama RAM 4GB atau 6GB bergantung pada varian. Storan juga hadir dalam dua kapasiti iaitu 64GB dan 128GB.

Pada komponen pengimejan, telefon ini menggayakan sensor 12MP dibelakang lensa berapertur F1.7 dengan teknologi UltraSpeed Autofocus. Penstabil imej optikal turut disertakan untuk mengurangkan kemungkinan gambar kabur. Kamera depan pula diberikan sensor 8MP dengan apertur F2.0 dengan sudut pandang lensa seluas 85°.

HTC tidak asing dalam penghasilan telefon yang mempunyai keupyaan audio yang tinggi. HTC U11+ tidak terkecuali menerima manfaat daripada HTC dalam bidang itu.

Anda akan menikmati bunyi loudspeaker yang lebih baik melalui HTC BoomSound Hi-Fi dan jika menggunakan headfon tertentu, anda mampu menerima Antive Noise Cancellation menerusi HTC USonic.

Ciri ikonik pada HTC U11 masih hadir iaitu Edge Sense. Ia membenarkan pengguna menggeggam telefon untuk memberi menjalankan arahan tertentu.

HTC U11+ akan mula dijual di Malaysia pada Disember 2017 ini pada harga yang belum diumumkan. Sebanyak dua warna ditawarkan iaitu Ceramic Black dan Amazing Silver. Satu lagi varian unik adalah belakang yang lutcahaya tapi belum pasti sama ada kita akan melihatnya di sini atau tak.

BACA  Snapdragon 675 Hadir Diperkasa Teras Kryo 460 Terbaru Qualcomm

HTC U11 Life

Berita baik untuk penggemar Android asli, HTC U11 Life menyertai liga Android One dengan bergaya. Ia adalah telefon Android One pertama yang mendukung Android 8 Oreo sejurus keluar kotak. Telefon ini bolehlah dikatakan pengganti kepada HTC U Play yang dilancarkan tahun lepas.

Versi mini kepada HTC U11+ ini mewarisi kebanyakkan ciri-ciri unik daripada abang besarnya itu seperti Edge Sense, USonic Audio, dan kekalisan debu/air IP67.

Pada bahagian hadapan, tersergam paparan 5.2″ beresolusi HD penuh daripada panel jenis LCD5. Berginjak pada papan utama pula, ia digerakkan sekeping cip pemproses Snapdragon 630 sambil dibantu oleh RAM 4GB.

Pengguna boleh mengisi data mereka dalam storan seluas 32GB yang disediakan ataupun luaskannya menerusi slot mikro-SD hibrid. Walau bagaimanapun, bateri yang dimilikinya adalah sedikit kecil iaitu 2,600mAh tetapi ia mungkin tidak mendatangkan masalah apabila ia dilengkapi dengan ciri pengecasan pantas.

Tempahan sudahpun dibuka untuk pengguna United Kingdom (UK) pada harga GBP 349 (RM1955.85). Walau bagaimanapun, tiada berita tentang penjualannya di Malaysia.