Inilah Dia iPhone X yang Dinantikan Selama Ini

Selepas 17 kali lelaran, barulah kita tiba ke iPhone X. Ia adalah revolusi paling nyata terhadap iPhone sejak ia dilancarkan pada 2007. Bukan saja ia membuang lansung butang ikonik Home yang ada sejak iPhone pertama, iPhone X juga memiliki nisbah paparan 19.5:9 untuk menjadi telefon dengan paparan paling panjang setakat ini.

iPhone X memiliki skrin 5.8″ daripada jenis OLED yang dihasilkan oleh Samsung. Mereka menggelarnya sebagai Super Retina Display. Panel itu mempunyai resolusi 2436×1125 dengan kepadatan piksel pada tahap 458ppi. Untuk perbandingan, Samsung Galaxy Note8 memiliki 521ppi dan Google Pixel 2 XL memiliki 538ppi.

Pada bahagian belakang, dua kamera disusun secara menegak pada bahagian kiri telefon. Ia mengapit empat flash LED dengan fungsi Slow Sync. Mengambil gambar menggunakan flash dalam gelap akan hanya mencerahkan subjek tetapi latar akan menjadi gelap. Slow sync membasmi masalah itu dengan memanjangkan masa shutter untuk membolehkan sensor menangkap data subjek yang diterangi lampu flash dan juga data latar yang tidak ber-flash.

Ini adalah iPhone pertama yang kedua-duanya memiliki penstabil imej optikal. Kamera utamanya diberikan sensor 12MP dengan apertur seluas F1.8. Kamera kedua iPhone X digunakan untuk mengezum. Ia mengambil gambar menggunakan sensor 12MP dengan apertur F2.4.

Keupayaan merakam video pada telefon ini adalah sesuatu yang diluar carta. Anda boleh merakam video 4K pada 60 fps ataupun video gerak perlahan sepantas 240fps pada resolusi HD Penuh.

Kamera depan turut menerima beberapa penambahbaikkan berbanding apa yang ada pada iPhone 8/8 Plus. iPhone X memiliki kamera TrueDepth 7 MP. Portrait mode kini boleh digunakan bersama kamera depan yang memiliki apertur F2.2.

Salah satu ciri unik pada iPhone X adalah animoji. Ia mengambil manfaat daripada kamera TrueDepth untuk mengesan pergerakkan otot muka untuk diterjemahkan kepada animasi emoji.

Beralih pada bahagian bawah, port pengecas Lightning ditempatkan pada bahagian bawah telefon seperti biasa. Ia diapit oleh dua set jeriji speaker

Terdapat sejumlah aksesori yang anda akan perolehi sejurus membuka kotak iPhone X. Kehilangan port audio diubati dengan penyuai Lightning Connector kepada 3.5mm audio. Maka, anda tak perlu risau headfon audiofilia yang akan terperosok dalam almari kelak. Ear Pods yabg memiliki soket Lightning turut disertakan..

Kabel USB diberikan bersama-sama sebuah blok pengecas. Malangnya, anda hanya diberikan pengecas 5V, 1A yang ternyata perlahan untuk mengecas. Sebab itu ramai yang mengecas menggunakan pengecas iPad yang menghantar 5.1V, 2.1A untuk mengecas.

iPhone X dijual di Malaysia bermula 24 November ini pada harga RM5,149 (64GB) dan  RM5,899 (256GB).