Barisan fon kepala baru JBL menggegarkan Malaysia dalam diam

Harman, sebuah syarikat pakar audio yang kini dimiliki oleh Samsung, membawakan pelbagai barisan produk audio terbaru mereka ke Malaysia. Salah satu jenama yang diperkenalkan adalah JBL.

JBL hadir dengan beberapa fon kepala yang baru. Untuk fon dalam telinga, ia membawakan model T110BT dan T205. Bagi fon telinga atas kepala, terdapat model E55BT QE dan E65BT NC. Siri Everest yang lebih hebat, hadir dengan model Everest 110, Everest 310, Everest 710 dan Everest Elite 750 NC.

Dari segi nama model, dapat dihuraikan bahawa BT menandakan model wayarles Bluetooth, dan NC pula memiliki fungsi pembatalan bunyi bising aktif.

JBL T110BT

Siri T dalam model JBL boleh dikatakan tergolong dalam kelas permulaan. Fon kepala T110 adalah model tahun lepas, tetapi kali ini ia diberikan keupayaan wayarles menerusi model T110BT.

Ia menggunakan kabel rata yang tidak kusut, serta bermagnet untuk lebih mudah disimpan. Baterinya boleh bertahan untuk memainkan muzik sehingga 6 jam, dengan masa pengecasan penuh selama 2 jam.

Lima warna boleh dipilih antara Hitam, Biru, Hijau, Putih dan Merah Jambu.

JBL T205

Fon kepala ini memiliki rekaan seakan Apple Earpods. Kabelnya juga rata, agar tidak mudah kusut semasa digunakan. Ia juga disertakan pouch untuk simpanan.

Lima warna boleh dipilih antara Hitam, Emas Ros, Emas dan Perak.

JBL E55BT QE

E55BT juga model yang tidak asing, kerana telah dijual sejak tahun lepas. Tetapi ia diberikan sentuhan peribadi Quincy James, ditala sendiri oleh lagenda terkenal ini.

Walaupun ia adalah model wayarles Bluetooth, pengguna masih boleh memasang wayar untuk menggunakannya, terutama untuk audio beresolusi tinggi sehingga 96 kHz/24 bit. Baterinya pula memainkan lagu sehingga 20 jam dengan masa mengecas hanya 2 jam.

BACA  Wang tunai USD90,000 menanti pemain Mobile Legends di Tamago

Perubahan luaran turut dibuat antaranya menggunakan kemasan metalik serta band kepala kulit. Ia hadir dalam dua warna istimewa iaitu Space Gray Gold dan Dusty Rose.

JBL E65BT NC

Bagi yang mahu mencuba fon kepala dengan fungsi pembatalan bunyi bising aktif yang tidak terlalu mahal, JBL memperkenalkan E65BT NC. Rekaannya hampir serupa dengan E55BT dengan kemasan kain fabrik, tetapi ditambah fungsi NC.

Tenaga baterinya boleh memainkan muzik sehingga 15 jam dengan NC aktif, atau 24 jam dengan NC terpadam. Masa mengecas pula hanya 2 jam.

Tiga warna boleh dipilih antara Hitam Matte, Biru dan Putih.

JBL Everest 110

Siri Everest boleh dikatakan paling atas dalam keluarga JBL dan semuanya wayarles Bluetooth. Bagi yang gemarkan fon dalam telinga, boleh mencuba Everest 110. Ia dibekalkan teknologi JBL Pro Audio dengan kemasan premium.

Mikrofon berteknologi anti-gema dimuatkan ke dalam butang kawalan bunyi. Ia boleh memainkan muzik hingga 8 jam dengan masa penuh mengecas selama 2 jam.

Tiga warna boleh dipilih antara Steel Blue, Gun Metal dan Silver.

JBL Everest 310

Rekaan Everest 310 ini dibuat bagi penggemar fon atas telinga. Ia dibalut dengan pelbagai kemasan premium bersama teknologi JBL Pro Audio. Terdapat satu fungsi unik Share Me 2.0, di mana pengguna boleh berkongsi muzik yang dimainkan bersama rakan menerusi Bluetooth.

Baterinya boleh bertahan sehingga 20 jam memainkan muzik, dengan masa mengecas hanya 2 jam. Fon kepala ini boleh dilipat rata agar mudah dibawa dan disertakan casing penyimpan yang keras untuk perlindungan semasa berjalan.

Tiga warna boleh dipilih antara Brown, Gun Metal, Purple dan Silver.

JBL Everest 710

Lain orang lain kegemarannya. Kepada peminat fon yang menutupi telinga, Everest 710 boleh menjadi pilihan. Ia diterapkan teknologi yang sama seperti Everest 310 seperti JBL Pro Audio dan Share Me 2.0.

BACA  Dengan DuitNow, Anda Tak Perlu Ingat Nombor Akaun Untuk Pindahkan Duit

Tetapi bateri lebih besar padanya membolehkan ia memainkan muzik hingga 25 jam dengan mengecas penuh selama 2 jam sahaja. Ia mudah dibawa kerana boleh dilipat rata, dan disimpan di dalam casing keras.

Dua warna disediakan iaitu Gun Metal dan Silver.

JBL Everest Elite 750 NC

Model terbaik fon kepala JBL dalam pelancaran kali ini adalah Everest Elite 750 NC. Paling utama, ia memiliki fungsi pembatalan bunyi bising aktif adaptif (ANC). Teknologi ini mengesan persekitaran dan menyesuaikannya dengan pengguna, samada mahukan pembatalan penuh, atau pembatalan separa di kawasan kerja.

Lebih menarik, fon kepala ini boleh dikemaskini fungsinya melalui aplikasi My JBL Headphones, yang turut boleh digunakan untuk talaan bunyi lebih mendalam.

Terdapat dua warna bagi fon kepala ini iaitu Gun Metal dan Silver.

Harga Jualan

Senarai penuh harga jualan fon kepala JBL yang baru ini boleh dirujuk melalui jadual di bawah. Ia akan dijual di pengedar sah JBL serta stor rasmi JBL di Lazada.  Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman web www.jbl.com.