Hasrat Broadcomm bersatu dengan Qualcomm ditolak sebulat suara

Awal bulan ini, dunia dikejutkan dengan langkah yang diambil oleh Broadcomm, sebuah syarikat pengeluar cip WiFi terkemuka di dunia. Syarikat yang diterajui oleh CEO kelahiran Pulau Pinang ini membuat tawaran untuk membeli Qualcomm, satu lagi pengeluar cip gergasi dengan jumlah sekitar USD100 bilion.

Dunia terkejut bukan sahaja kerana nilai tinggi tawaran yang tak pernah dilihat sebelum ini, malah agak gusar memikirkan monopoli yang mungkin berlaku dari penyatuan ini.

Perkara ini boleh dilihat dari pihak Qualcomm sendiri di mana mereka sedang bergelut dengan kes mahkamah bersama Apple dan beberapa syarikat lain, kerana dituduh mengenakan bayaran lesen cip melampau. Penggabungan ini boleh membantu Qualcomm kerana hubungan rapat Broadcomm dengan Apple dijangka boleh menyelesaikan pertikaian ini.

Tetapi lembaga pengarah Qualcomm dalam mesyuaratnya telah sebulat suara menolak tawaran Broadcomm. Mereka memaklumkan, tawaran ini merendahkan kemampuan Qualcomm untuk berdiri sendiri, malah ia juga berkemungkinan besar ditolak oleh pihak berkuasa.

Broadcomm bagaimanapun masih tidak berputus asa, melihatkan respon positif dari pelanggan utama dan pemegang saham Qualcomm. Penganalisa melihat, Broadcomm boleh cuba menaikkan lagi harga tawaran, atau melancarkan perang proksi di dalam Qualcomm.

Secara peribadi, penulis melihat langkah ini sebagai tidak kompetitif, menjadikan Broadcomm sebuah syarikat monopoli cip WiFi dan Modem. Telah terbukti, kehilangan persaingan dalam pasaran sangat tidak menguntungkan pengguna.

Semoga lembaga pengarah Qualcomm akan berjaya meyakinkan pemegang saham untuk teguh mempertahankan keputusan ini.

[Sumber: Reuters]

BACA  Peranti baru Samsung Galaxy, 4 kali lebih seronok?