Apa perlu dibuat jika data peribadi anda ada di SayaKenaHack.com

KEMASKINI: Pemilik sayakenahack.com akan menutup laman web tersebut pada hari Ahad, 19/11/2017. Kena cepat kalau nak semak.

Bulan lepas, laman web Lowyat.net melaporkan tentang penjualan data peribadi pengguna telco di Malaysia. Terdapat lebih 46.2 juta nombor telefon dan data berkaitan di dalamnya seperti nama penuh dan no kad pengenalan.

Walaupun data ini tidak boleh didapati secara terus, tetapi ia masih agak mudah untuk dicari dengan sedikit usaha. Tetapi ia dijadikan lebih mudah oleh seorang pembangun laman web, Keith Rozario melalui laman web yang dibangunkannya, sayakenahack.com.

Menurut Keith Rozario di blognya, data ini sebenarnya mudah dicari oleh mereka yang tahu membuat carian di internet. Tetapi beliau hanya mahu memudahkan lagi orang biasa atau menjimatkan masa orang ramai, untuk melihat sendiri data yang didedahkan ini.

Beliau merasakan ia bukan satu kesalahan mendedahkan data ini, kerana ia mudah dicari dan beliau sebenarnya tidak mendedahkan sepenuhnya data tersebut. Hanya beberapa nombor sahaja, seperti 4 nombor pertama dan dua nombor terakhir nombor telefon.

Malah, perkara yang beliau buat ini kurang terdedah berbanding laman web Suruhanjaya Pilihanraya dan PTPTN, yang mendedahkan nama penuh pengguna dengan memasukkan nombor kad pengenalan sahaja.

Jadi, anda telah pergi ke laman sayakenahack.com, memasukkan nombor kad pengenalan dan beberapa nombor telefon pun disenaraikan bersama beberapa data peribadi. Perlukah anda berasa risau?

Ya dan Tidak

Keith menyatakan, nombor kad pengenalan adalah sesuatu yang tetap dan tidak boleh diubah. Ia digunakan secara meluas, jadi boleh dikatakan ia memang tidak dilindungi. Berbeza dengan nombor telefon, nombor kad kredit dan emel yang boleh diubah jika terdapat masalah.

BACA  POCOPHONE F1 pecah rekod harga peranti Snapdragon 845 termurah di Malaysia

Tetapi anda tidak perlu risau kerana, data ini hanyalah sehingga 2014 sahaja. Kebiasannya dalam masa tiga tahun, seseorang itu telah menukar model telefon, ataupun nombor telefon, atau pun kad sim (saiz mini ke mikro ke nano). Jadi nombor IMEI, IMSI dan SIM tidak lagi sama seperti di dalam data ini.

Apa lagi boleh anda lakukan dari saat ini? Jika telefon pintar atau kad sim anda berusia lebih tiga tahun, ini adalah masa yang terbaik untuk menukarnya.

Kemudian, jika anda mendapati nombor telefon yang tidak dikenali di dalam senarai kad pengenalan anda, segera pergi ke cawangan telco berhampiran untuk meminta penjelasan. Jika benar ia masih aktif, hentikan dan buat laporan polis tentang pencurian identiti.

Selain dari ini, ia menjadi tanggungjawab telco dan pihak berkuasa untuk memastikan tiada penyalahgunaan berlaku dari data yang terbocor ini. Berdoalah agar anda tidak menjadi mangsa kebocoran data ini.

TIPS: Mungkin anda tidak boleh mengakses lagi laman web sayakenahack.com kerana ia mungkin telah dihalang di Malaysia. Jika masih mahu cuba mengakses masuk, cuba ubah DNS atau guna VPN.

[Sumber: Keith Rozario]