Mahu padamkan segala hiruk pikuk dunia dan nikmati alunan lagu kegemaran telinga dalam medan peribadi? Cuba kuasa pembatalan bunyi aktif (ANC) terbaru daripada Sony.
Hari ini Sony Malaysia melancarkan tiga model fon kepala yang dilengkapi teknologi ANC terbaru Sony. Ia boleh memadamkan sehingga 90% bunyi bising sekeliling, atau memilih jenis bunyi persekitaran yang boleh didengari.
Tiga model ANC ini ialah fon atas kepala WH-1000XM2, fon kepala cekak leher WI-1000X dan fon telinga tanpa sebarang wayar WF-1000X.
Antara teknologi baru di dalam fon kepala baru Sony ini adalah ‘Adaptive Sound Control‘, di mana ia mengesan aktiviti pengguna dan menetapkan tahap pembatalan bunyi dan bunyi persekitaran yang sesuai. Seperti sedang duduk, berjalan, berlari dan suasana sibuk stesen bas.
Manakala teknologi SENSE ENGINE akan memberikan bunyi yang ditala khusus buat pengguna. Malah, model WI-1000X dan WH-1000XM2 ditambah lagi dengan ‘Atmospheric Pressure Optimising‘, memastikan perubahan tekanan udara tidak mengganggu kualiti bunyi yang diingini pengguna.
Kehebatan ketiga-tiga model fon kepala ini diserlahkan lagi apabila berpasangan dengan aplikasi mudah alih, Sony | Headphones Connect. Aplikasi ini serasi dengan peranti Android 4.4 dan ke atas, serta iOS9.0 dan ke atas.
Dengan aplikasi Headphones Connect, lebih banyak tetapan dan talaan untuk pembatalan bunyi dan kualiti audio boleh dilakukan untuk memenuhi citarasa tersendiri. Muat turunnya di sini.
WF-1000X
Kecil-kecil cili padi, walaupun kecil tapi mampu memberi kualiti audio dan pembatalan audio yang tinggi. Sesuai untuk mereka yang mahukan produk minimalis. Sambungan boleh dibuat ke peranti melalui Bluetooth atau NFC dengan mudah.
Ia datang bersama case pengecas, dengan kuasa memainkan lagu selama 3 jam, atau gabungan 9 jam bersama pengecas. Pengecasan yang pantas memberikan ia kuasa audio selama 75 minit dengan 15 minit cas sahaja.
Fon kepala Sony WF-1000X tanpa wayar sepenuhnya ini boleh mula dibeli di Malaysia pada 19 November 2017 dengan harga RM899. Rujuk laman produk untuk maklumat lanjut.
WI-1000X
Mahukan sesuatu yang lebih bertenaga dan tahan lebih lama dengan rekaan minima, Sony membawakan pula fon kepala cekak leher WI-1000X. Ia memiliki tenaga bateri sehingga 10 jam memainkan lama bersama ANC, atau sehingga 13 jam tanpa ANC.
Wayar fon kepalanya boleh dililit di bahagian cekak, dan ia boleh disimpan di dalam beg kecil yang mudah dibawa. WI-1000X menyokong audio beresolusi tinggi, tetapi ia perlu disambungkan kepada wayar. Cekaknya akan bergetar apabila terdapat panggilan masuk.
Sony Malaysia telahpun mula menjual WI-1000X pada harga RM1,499. Lebih banyak info boleh didapati di laman produk.
WH-1000XM2
Kuasa pembatalan bunyi aktif paling moden dan canggih boleh didapati menerusi fon kepala Sony WH-1000XM2. Ia merupakan generasi kedua model MDR-1000X dengan rekaan yang saling tak tumpah.
Kawalan lagu dibuat menerusi pad telinga kanan, tiada butang diperlukan. Paling menarik, ketika mendengar lagu, pengguna boleh berbual dengan orang lain semudah menekup pad telinga kanan. Kemudian lepaskan untuk menyambung mendengar lagu.
Kuasa baterinya bertahan paling lama. Mampu memainkan lagu sehingga 30 jam dengan ANC, atau 40 jam tanpa ANC. Manakala mengecas 10 minit memberikan tenaga bermain lagu selama 70 minit.
Seperti WI-1000X, fon kepala ini juga menyokong audio resolusi tinggi melalui wayar. Ia disertakan case keras untuk simpanan, dan adaptor pesawat.
Fon kepala yang hebat ini telahpun dijual di Malaysia dengan harga RM1,599. Maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman produk.