Telefon Razer sudah dekat tapi masih tak tercapai

Razer telah melancarkan telefon pintarnya pada awal bulan ini, dikenali sebagai Razer Phone. Sebagai syarikat yang popular dengan peralatan permainan video, telefon pintarnya juga disasarkan kepada mereka yang amat gemar bermain game.

Razer Phone telah pun mula dijual di beberapa negara barat, tetapi kini ia telah membuka tempahan di Asia. Singapura akan menjadi negara pertama di Asia menjual Razer Phone, melalui syarikat telekomunikasi Singtel.

Perkara ini diumumkan Singtel di laman Facebooknya. Bagaimanapun, telefon ini tidak boleh dibeli secara sendiri. Sebaliknya ia perlu dibeli bersama pelan telefon Singtel dan perlu mendaftar kontrak.

Malah ia hanya boleh didapati di booth Singtel di pameran SITEX yang sedang diadakan dari 23 – 26 November 2017. 200 tempahan terawal akan menerima hadiah percuma berupa set kepala Razer Hammerhead Bluetooth bernilai SGD169.

GSMArena memaklumkan, telefon pintar Razer Phone akan mula dijual di Singapura bermula 1 Disember 2017 dengan harga SGD1,068 (~RM3,265). Nampaknya set import ini bakal mula kelihatan di kedai-kedai telefon Malaysia bulan hadapan.

Masih tiada khabar tentang penjualannya di Malaysia. Walaupun Malaysia berjiran dengan Singapura, masih banyak produk Razer yang tidak dijual secara rasmi di Malaysia berbanding Singapura. Susah nak agak bila Razer Phone akan tiba.

Dengan harga melebihi RM3,000, sudah pasti Razer Phone memiliki spesifikasi berkuasa tinggi. Kuasanya dijana oleh pemproses Qualcomm Snapdragon 835, bersama 8GB RAM LPDDR4 1866MHz dan disertakan storan UFS sebanyak 64GB. Mungkin ini agak biasa.

Tetapi yang menjadikan ia telefon pintar untuk gamers, adalah kelengkapan seperti skrin 5.7-inci QuadHD berkelajuan 120MHz Ultramotion. Sangat penting untuk permainan aksi yang bergerak pantas.

Kehebatan ini ditambah lagi dengan sistem bunyi Dolby Atmos dan diiktiraf THX, yang dikeluarkan menerusi pembesar suara stereo. Malangnya, ia tiada port audio 3.5mm jadi perlukan adaptor USB-C ke 3.5mm untuk menggunakan fon kepala berwayar anda yang lama.

Lain-lain perkara di Razer Phone juga sangat menarik seperti dua kamera belakang 12MP berkuasa zum optikal 2x, kamera hadapan 8MP, bateri 4,000mAh dan sokongan pengecasan pantas Quick Charge 4+.

Tak sabarnya rasanya nak main game macam Arena of Valor dan Mobile Legends di Razer Phone. Kalau nak tau lebih lagi, cuba semak laman produk Razer Phone Singapura.