Brightstar Ramal Ketibaan OnePlus 5T Set Malaysia

Brightstar Distribution Sdn. Bhd., selaku mengimport eksklusif OnePlus sebentar tadi telah memuat naik video teaser berkaitan OnePlus 5T. Ia sekali gus menguatkan lagi spekulasi yang OnePlus 5T set rasmi Malaysia akan boleh dibeli sebelum hari Krismas ini.

Walau bagaimanapun, tiada tarikh khusus dikongsi dalam video berdurasi 15 saat itu.

OnePlus 5T

You knew it’s coming…#High5 #FeelingCheeky #OnePlus5T #ComingSoon

Posted by Brightstar Malaysia on Monday, December 4, 2017

OnePlus 5T membawakan sedikit perubahan berbanding OnePlus 5. Misalnya, ia secara rasmi menyertai trend skrin 18:9 tahun 2017 bersama-sama panel sebesar 6.01″ dengan resolusi HD Penuh+ (2160×1080). Ia mengakibatkan pengimbas cap jari terpaksa dipindahkan ke bahagian belakang badan.

Kamera belakang sekunder telah ditukarkan kepada sensor 20MP berjarak fokal sama dengan kamera utama 16MP-nya. Kedua-dua kamera itu memiliki apertur seluas F1.7 yang menjanjikan prestasi telefon ini dalam persekitaran malap yang lebih baik berbanding sebelumnya.

Spesifikasi yang lain OnePlus 5T adalah sama seperti OnePlus 5. Persamaan antara mereka adalah seperti penggunaan cip Snapdragon 835, storan sehingga 128GB, dan juga RAM sehingga 8GB.

Bateri yang menguasakan semua komponen elektroniknya mempunyai kapasiti 3,300mAh dan boleh dicas pantas menggunakan pengecas teknnologi Dash Charge.

DirectD sudahpun memulakan tempahan untuk memiliki OnePlus 5T versi import pada harga bermula RM2,328.