[Reviu] Huawei MediaPad M3 Lite Dengan Ciri Yang Jarang Ada Pada Tablet Lain

Pendahuluan


Segmen tablet mempunyai penggunanya yang tersendiri. Golongan ini memerlukan sebuah peranti yang mampu menggalas tugasan yang kurang sesuai dilakukan oleh sebuah telefon pintar. Contohnya, skrin yang besar diperlukan untuk membaca, kandungan multimedia, dan juga melakukan tugasan khusus.

Huawei adalah antara beberapa pengeluar yang masih menghangatkan segmen ini sungguhpun kebanyakkan pesaing lain sudah mula angkat kaki dan lebih menumpukan pada telefon premium dan pertengahan yang mampu memberi lebih pulangan kepada mereka.

Dalam senarai produk tablet daripada Huawei, anda boleh menemui tablet yang memiliki spesifikasi premium hinggalah ke mampu milik. Huawei MediaPad M3 Lite adalah salah satu tablet yang menduduki kelas pertengahan jika dilihat pada penggunaan cip Snapdragon 435.

Pada harga RM999, ia adalah antara yang termurah dalam kelasnya.

Walaupun dalam kelas pertengahan, Huawei tetap menyuntik seribu satu ciri menarik pada tablet ini untuk buatkan anda kagum akannya. Lebih menarik, MediaPad M3 Lite ada satu ciri unik yang amat jarang dimiliki sebuah tablet. Nak tahu apakah ciri unik itu? Teruskan membaca reviu ini.


Perkakasan

Memegang MediaPad M3 Lite adalah amat selesa. badannya diperbuat daripada besi yang memberikan rasa sejuk apabila berada dalam tapak tangan. Saiz keseluruhan tablet ini adalah ideal kerana tidak terlalu besar untuk dikendalikan tetapi tidak pula terlalu kecil untuk mengehadkan kerja yang mampu kita lakukan bersamanya.

Disebabkan bahagian belakang menerima kemasan matte, kesan cap jari bukanlah masalah pada tablet ini. Tambahan pula, sisi berbucu serong menambahkan lagi tahap ergonomik tablet ini.

Pada bahagian muka tablet, sebahagian besarnya diliputi panel paparan IPS bersaiz 8″. Segala gambar dan video boleh dinikmati melalui skrin beresolusi HD Penuh 1920 x 1200.

BACA  Ini rupa Huawei Mate 20 berkuasa Kirin 980 dengan tiga kamera belakang?

Tidak dinafikan bahawa bingkainya agak besar berbanding telefon pintar flagship masa ini. Tapi, sejujurnya anda tak perlukan paparan nirbingkai pun untuk menikmati kandungan multimedia kerana ia menjadikan tablet agak sukar untuk dipegang sambil menonton video.

Pada bahagian dahi tablet, anda akan menemui kamera 8MP. Kamera yang serupa turut boleh ditemui pada bahagian belakang, bezanya adalah hanya kamera belakang memiliki fungsi autofocus.

Bahagian dagu pula anda diberikan butang perumah. Tiada sebarang butang kapasitif hadir dan segala arahan untuk Back atau melancarkan Recent Apps dilakukan dari butang perumah, salah satu ciri menarik pada peranti Huawei.

Pada bahagian sisi kanan, Huawei meletakkan butang kuasa, butang kawalan bunyi, dan slot SIM/mikro-SD. Bateri tablet ini dicas melalui port mikro-USB yang terletak di sebelah bawah. Port audio pula diletakkan pada sebelah atas.

Jeriji speaker stereo terletak di dua lokasi iaitu atas dan bawah.

Pada papan utama, Huawei MediaPad M3 Lite dikuasakan sekeping cip Snapdragon 435. Berikut adalah sedikit maklumat berkaitan Qualcomm Snapdragon 435:

  • Kelajuan cip pada 1.4 Ghz
  • Miliki 8 teras
  • Dibangunkan menggunakan acuan 28nm
  • Diumumkan pada 2 November 2016

Cip itu dipadankan dengan RAM 3GB beserta storan sebesar 32GB. Anda boleh meluaskan storan melalui slot mikro-SD yang mampu menampung sehingga 256GB.