Gunakan Waze untuk tampal lubang jalan di Selangor

Jika anda pemandu kenderaan di Selangor, anda boleh sama-sama menyelesaikan masalah jalan berlubang menggunakan aplikasi Waze. Ia dijayakan dengan kerjasama kerajaan negeri Selangor.

Mudah sahaja caranya.

Aktifkan aplikasi navigasi Waze, dan gunakan ia sebagai navigasi ke arah tujuan anda. Jika anda terlihat lubang di jalanraya, tekan lama ikon Report sehingga keluar tiga lagi ikon pilihan. Kemudian pilih ikon Hazard (segitiga kuning !).

Seterusnya, pilih On Road dan Pothole. Akhir sekali, tekan Send. Majlis Kerajaan Tempatan akan menampal lubang jalan tersebut dalam masa 5 hari.

Menurut Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), inisiatif ini meliputi semua 12 kerajaan tempatan Selangor iaitu Petaling Jaya (MBPJ), Shah Alam (MBSA), Hulu Selangor (MDHS), Kuala Langat (MDKL), Kuala Selangor (MDKS), Sabak Bernam (MDSB), Ampang Jaya (MPAJ), Kajang (MPKJ), Klang (MPK), Selayang (MPS), Sepang (MPSepang) dan Subang Jaya (MPSJ).

Bagaimanapun, jalan-jalan yang dimiliki persendirian serta diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) tidak termasuk di dalam inisiatif ini.

Timbalan Pengarah Program SSDU, Dr Fahmi Ngah menyatakan dari Januari hingga November tahun ini, kerajaan negeri Selangor telah menerima lebih 19,000 laporan menerusi Waze dan telah menampal hampir kesemua jalan yang terdapat di bawah kerajaan tempatan. Kerjasama orang ramai memberi impak yang berkesan dan diharap dapat diteruskan lagi.

Marilah kita bersama-sama menjadikan jalanraya di Selangor lebih selamat untuk dipandu. Aplikasi navigasi Waze boleh dimuat turun di Apple Appstore dan Google Playstore.

BACA  Pengguna Apple boleh memandu lebih selamat dengan Google Maps dan Waze di Carplay