TenTwenty bangkit dari kalah menjadi juara Dew Challenge 2017

Memasuki tahun ke-3, pertandingan Dota 2 amatur anjuran Mountain Dew telah mencapai kemuncak pusingan akhirnya pada hari Ahad lepas, 17 Disember 2017. Tahun ini menyaksikan ia pertama kali membuka pintu kepada peserta dari Singapura, untuk sama-sama merebut kejuaraan bersama peserta Malaysia.

Pusingan akhir Dew Challenge 2017 ini diadakan serentak dengan acara Comic Fiesta di Kuala Lumpur Convention Centre. Selepas bertarung selama dua hari, pasukan TenTwenty yang bangkit dari Loser Round, muncul sebagai pemenang utama dan membawa pulang hadiah wang tunai RM60,000.

Tempat kedua pula milik pasukan Virtual Genesis yang menerima wang tunai RM30,000. Pasukan Kids+Adults menduduki tempat ketiga dengan hadiah RM15,000 dan pasukan CR1 Stratos di tempat keempat mendapat wang tunai RM13,000.

Pusingan awal Dew Challenge 2017 telah menjelajah ke seluruh negara dari Pulau Pinang, ke Pahang, Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan menyeberang ke Singapura. 8 pasukan terbaik telah berkampung selama 2 hari di Kuala Lumpur Convention Centre untuk mencari juara.

Pertandingan amatur sebegini boleh membuka laluan kepada pemain untuk melonjakkan diri mereka ke persada antarabangsa. Beberapa peserta Dew Challenge sebelum ini, telah berjaya menyertai pasukan luar negara dan berentap di pertandingan antarabangsa.

Yeik Nai Zheng yang dikenali sebagai MidOne, adalah pemain kedua terbaik di Eropah dan kini ahli kepada Team Secret. Pemenang Dew Challenge tahun lepas, Chong Jia Hao atau VT Faded, kini bersama pasukan Nga Gaming di China.

Populariti e-sukan yang kian meningkat di samping membuka peluang buat semua, mengukuhkan lagi keinginan Mountain Dew untuk meneruskan lagi acara ini tahun depan. Mereka mahukan lebih ramai anak muda turut sama mencabar diri mereka dan menyertai acara sebegini.

BACA  Pengguna Apple boleh memandu lebih selamat dengan Google Maps dan Waze di Carplay

Dapatkan maklumat lanjut tentang pertandingan ini menerusi laman web www.mountaindewdota2.com serta di Facebook Mountain Dew Malaysia.