Jam pintar pertama Fitbit mula tiba di Malaysia

Jam pintar pertama Fitbit yang dilancarkan pada Ogos lepas, sekarang telah mula dijual di Malaysia. Terkenal sebagai pengeluar peranti kecergasan, Fitbit Ionic adalah yang pertama keluar dari kepompong peranti kecergasan dan digelar sebagai jam pintar Fitbit.

Fitbit Ionic dilihat mahu bersaing terus dengan Apple Watch dengan ciri-ciri yang hampir sama. Ia dibina berasaskan aluminium siri-6000, terbina GPS di dalam, kalis air sehingga 50 meter tetapi menjalankan sistem operasinya yang tersendiri, iaitu Fitbit OS.

Jika anda pengguna Fitbit sebelum ini, anda pasti sukakan dengan pelbagai fungsi kecergasan yang diterapkan ke dalam Ionic seperti pengesan degupan jantung berterusan PurePulse, pengesan aktiviti kecergasan automatik, pengesan waktu tidur serta jurulatih peribadi Fitbit Coach.

Bagi jam pintar pula, ia boleh memaparkan pelbagai notifikasi apabila berhubung dengan telefon pintar, boleh menyimpan sehingga 300+ lagu untuk didengari bersama fon kepala Bluetooth, dan memasang aplikasi khas FitbitOS.

Bateri pada Fitbit Ionic dikatakan boleh bertahan sehingga 4 hari, atau berterusan selama 10 jam dengan GPS aktif. Jam pintar ini boleh bersambung secara Bluetooth dengan peranti berasaskan Android, iOS dan Windows.

Harga jualan Fitbit Ionic di Malaysia adalah RM1,399 dengan tiga pilihan warna iaitu Charcoal/Smoke Gray, Blue Gray/White dan Slate Blue/Burnt Orange. Antara tempat ia boleh dibeli adalah di Harvey Norman, Lazada dan Superbuy.

Harga ini boleh dikatakan dalam golongan jam pintar premium. Contohnya, Samsung Gear S3 Frontier memiliki harga yang sama, manakala Gear Sport pula hanya RM1,299. Apple Watch Series 3 pula bermula dari RM1,549 dengan fungsi yang lebih menarik. Sukar untuk melihat Fitbit Ionic adalah pilihan yang lebih baik dari Samsung Gear dan Apple Watch.

BACA  Haiwan kesayangan anda boleh bantu menangi honor 10

Jika mahu berkenalan dengan lebih rapat, anda boleh merujuk maklumat lanjut di laman produk Fitbit Ionic.