beIN Sports Connect platform strim bola khusus pertama di Malaysia

Peminat bola sepak di Malaysia kini mempunyai pilihan tambahan selain kedai mamak, untuk menonton pelbagai perlawanan bola sepak secara langsung di mana jua menerusi beIN Sports Connect. Ia merupakan servis penstriman video yang diperkenalkan oleh syarikat media beIN Asia Pacific.

Siaran perlawanan bola sepak ini boleh ditonton menerusi laman web beIN Sports Connect atau di peranti mudah alih iOS dan Android.

Empat liga terkemuka dunia ditawarkan buat masa ini iaitu La Liga Sepanyol, Ligue 1 Perancis, Super Lig Turki dan juga Hyundai A-League Korea. Sayang, Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak terdapat di beIN Sports Connect.

Pengguna perlu melanggan pelan beIN Sports Connect sebelum dapat mula menonton. Setakat ini, hanya satu pelan disediakan iaitu RM20 untuk tontonan tanpa had selama sebulan.

Perlawanan disiarkan dalam definisi tinggi HD serta boleh ditayangkan di skrin besar menerusi Chromecast atau AirPlay. Pengguna juga boleh menghentikan seketika tontonan atau melihat semula perlawanan sebelum ini di dalam aplikasi.

Untuk meraikan ketibaan beIN Sports Connect di Malaysia, orang ramai boleh menonton secara percuma perlawanan yang dinantikan ramai, El Clasico di antara Real Madrid dan Barcelona pada hari Sabtu, 23 Disember jam 7.55 malam.

Daftar akaun anda sekarang di laman web beIN Sports Connect dan muat turun aplikasinya di Apple Appstore atau Google Playstore, agar anda tidak terlepas peluang menonton El Clasico secara percuma.