Nommi Power Adalah Modem LTE 4-Dalam-1 Yang Perlu Anda Miliki

Melancong ke luar negara memang menyeronokkan. Walau bagaimanapun, untuk kekal berhubung dengan Internet adalah sesuatu yang membebankan terutamanya pada kos. Oleh sebab itu, sekumpulan penyelidik daripada Kazakhstan sedang membangunkan Nommi, satu penyelesaian komprehensif untuk menangani dilema kos Internet yang mahal ketika merantau.

Nommi adalah sebuah peranti bersaiz poket yang mampu menjalankan empat fungsi utama yang penting ketika merantau.


Modem LTE

Ia memiliki slot kad SIM yang boleh digunakan sekiranya anda memiliki SIM tempatan lokasi anda berlibur. Modem ini boleh berhubung pada rangkaian 4G LTE, 3G, dan GPRS/EDGE di lebih 100 negara tanpa masalah.

Sekiranya anda tiada kad SIM tempatan, Nommi turut menyediakan pelan-pelan Data pada harga mampu milik. Misalnya, ada pelan USD 4 untuk quota 500MB ataupun USD 35 untuk 5GB.

Wi-Fi Router

Dilengkapi dengan pemancar Wi-Fi sehinga 802.11 N, Nommi boleh menyediakan sambungan sepantas 150MB/s kepada telefon anda. Jika anda rasakan keupayaan terhad, ia memiliki satu lagi helah yang boleh mengagumkan anda.

Nommi boleh bertindak sebagai pemanjang parameter cakupan Wi-Fi (extender). Jika anda dapati terdapat ruang dalam rumah yang isyarat Wi-Fi-nya lemah, gunakan saja Nommi untuk menguatkan isyarat tersebut.

Power Bank

Terdapat dua variant Nommi yang sedang mereka bangunkan. Nommi Slim memiliki bateri 3,500 mAh manakala Nommi Power memiliki bateri berkapasiti 10,000mAh. Uniknya, varian yang lebih besar dilengkapi dengan pad pengecas Qi. Maka, anda boleh mengecas iPhone 8/8 Plus/X ataupun Android seperti Galaxy S8/S8+/Note 8 secara wayarles. Tambahan pula, terdapat port USB-A untuk mengecas peranti lain menggunakan kabel konvesional.

VPN

Dalam badan Nommi sendiri ada VPN terbina. Jika anda melanggan pelan bulanan USD 35, anda akan menikmati 50GB kuota penyulitan VPN. Ia amat berguna jika anda perlu mengakses laman web yang dikunci aksesnya secara geografi. Misalnya, jika anda berada di China, anda tak boleh mengakses perkhidmatan seperti Google, Facebook, dan sebagainya. Kekurangan inilah yang ingin diatasi oleh Nommi.

BACA  Asus ZenBook Pro 15 Kemudi Dunia Laptop Ke Tanah Baru

Nommi masih belum dihasilkan secara komersial. Setakat ini, mereka sudahpun mengumpul USD 62,552 dana untuk direalisasikan. Jika anda berminat untuk mendapatkan sebuah Nommi, anda boleh menyumbang serendah USD 60 (RM 244) untuk memiliki Nommi Slim. Nommi Power pula dijual pada harga serendah USD 75 (RM 305).

Dibandingkan dengan harga promosi ini, saya rasakan ia agak kompetitif dengan harga sebuah modem LTE yang dijual sekarang. Malahan, kapasiti bateri 10,000mAh yang dimiliki Nommi Power sangatlah melebihi kapasiti biasa yang boleh anda beli di pasaran setakat ini.

Tapi, anda perlu bersedia untuk menerima Nommi sedikit lewat iaitu sekitar Jun 2018. Layari laman Indiegogo mereka untuk maklumat lanjut.