Semakin banyak telefon yang mula menyisihkan port audio 3.5mm sekarang. Arakian, bermulalah pengembaraan mencari pengubat kekurangan itu. Headset berasaskan Bluetooth adalah penyelesaiannya tetapi dengan ribuan calon di luar sana, yang manakah mampu menjadi halwa telinga dan mesra bajet?
Nama Plantronics tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia telekomunikasi. Daripada industri penerbangan hinggalah angkasa lepas, produk Plantronics sudahpun berada dalam kabin-kabin pesawat sejak 1960-an. Dua headset Bluetooth daripada Plantronics telah tiba di meja editor kami iaitu:
- Plantronics Voyager 3240
- Plantronics BackBeat 505
Adakah kedua-duanya mampu memberikan perkhidmatan yang cemerlang pada penggunanya? Teruskan membaca artikel ini.
Plantronics Voyager 3240
Satu ketika dulu, headset jenis ini memang menjadi kegilaan terutamanya pada golongan kontraktor yang sentiasa memburu tender-tender kerja. Tetapi dek peralihan angin, pengguna kini lebih terarah kepada aplikasi permesejan seperti Whatsapp.
Unit yang kami terima adalah Voyager 3240. Ia adalah headset bluetooth dalam siri Voyager 3200 yang mempunyai kelebihan memiliki bekas pengecas khas.. Ditujukan pada golongan professional, rekaannya kompak dan tidak terlalu menonjol sehinggakan nampak janggal jika berada di tempat awam.
Spesifikasi Utama Headset:
- Tiga mikrofon dengan fungsi penyaring hingar serta teknologi audio berdefinisi tinggi
- Bekas pengecas yang beri 10 jam tambahan waktu penggunaan
- Pengaktifan Cortana, Google Assistant & Siri menggunakan suara
Sungguhpun kompak, saya menemui pelbagai komponen pada unit ini. Salah satunya adalah sensor pintar yang pintar yang menyalurkan audio panggilan terus ke headset sejurus anda memakainya untuk berbual.
Kemudian, tiga mikrofon dengan teknologi penyaring hingar berjaya ditempatkan secara efisien dalam ruang yang terhad. Terdapat juga butang pengawal seperti butang mute dan pengawal aras suara untuk kemudahan pengguna.
Beralih pada bekas pengecas pula, ia adalah sesuatu yang unik dan jarang ditemui pada produk lain. Dimaklumkan mampu memberikan hingga 10 jam waktu penggunaan tambahan kepada 6 jam yang sedia ada pada unit headset, anda mampu beroleh 16 jam waktu penggunaan, itupun jika digunakan terus menerus tanpa henti.
Pendek kata, 16 jam waktu penggunaan adalah amat panjang dan anda tak perlu risau kehabisan tenaga. Tambah menarik, ia disertakan penggantung khas untuk anda menggantungkannya pada pinggang sepert sebuah sarung pistol.
Pengalaman Mengguna
Pemakaian Voyager siri 3200 amat selesa walaupun dipakai dalam satu jangka masa yang panjang. Beberapa saiz penyesuai disediakan jika anda berasa kurang selesa dengan cengkaman pada telinga.
Untuk memaksimumkan potensi headset Plantronics, saya memasang apps PLT HUB pada telefon Android. Melalui apps ini, anda boleh mengawal selia tetapan headset yang mungkin tidak boleh dilakukan terus pada headset.
Untuk kualiti suara semasa bersembang, saya dapati ia memang menepati apa yang diiklankan. Bagi mendemonstrasikan keupayaan mikrofon penyaring hingar pada Voyager 3200 ini, saya kepilkan dua audio yang dirakam di tempat yang sama tetapi satu bersumberkan headset Bluetooth dan satu lagi terus daripada telefon.
Sampel daripada Xiaomi Mi A1
Sampel daripada Plantronics Voyager 3200
Setelah berpuas Hati dengan hasilnya, saya berpindah pula ke headset kedua iaitu Plantronics Backbeat 505.
[nextpage title=”Plantronics BackBeat 505″]
Plantronics BackBeat siri 505 adalah sebuah headset jenis closed-back. Ia hadir dengan badan plastik kebanyakannya kecuali pada satu gegelung besi yang menjadi rangka headfon ini.
Rekaannya minimalistik dan tidak terlalu “Ah Beng” seperti headset Beats Audio lebih-lebih lagi pada logo Plantronic hanya mengambil secebis ruang pada unit ini.
Spesifikasi Utama headset:
- 18 jam waktu penggunaan
- Pemacu audio 40 mm dengan subwoofer pasif
- Aliran audio secara Bluetooth ataupun kabel
- Mikrofon disediakan
Pada earcup sebelah kiri, anda akan menemui butang kawalan seperti suara, play/pause, port pengecas, serta port audio 3.5mm. Pada bahagian kanan pula, Plantronics menempatkan butang kuasa, mikofon, serta butang arahan suara yang boleh mengaktifkan pembantu maya seperti Cortana, Google Assistant, dan Siri.
Untuk keselesaan, sepasang memory foam hadir untuk menambat telinga pada headset. Foam yang sama turut hadir pada kerangka penyambung untuk beri keselesaan terutama di bahagian atas kepala.
Pengalaman Mengguna
Satu perkara yang saya amat gemari tentang BackBeat 505 adalah ia mampu beroperasi dalam dua mode, sama ada menggunakan Bluetooth ataupun secara kabel seperti headset yang lain. Ia memberikan hiburan tanpa henti walaupun saya sudah menghabiskan 18 jam tenaga bateri pada headset ini.
Daripada segi kualiti audio, saya sendiri tak mampu bezakan sama ada daripada Bluetooth mahupun kabel. Daripada ujian menggunakan Spotify dengan setting Extreme Quality, audio yang dipersembahkan BackBeat amat memuaskan.
Baik daripada segi Bass dan Treble, ia memberikan respons kepada julat frekuensi yang lebar. Maka, untuk pengguna bukan audiofilia seperti saya, ia adalah amat mencukupi.
Hanya satu kelemahan yang saya ingin utarakan pada headset ini. Pad telinga yang diberikan pada set ini agak kecil lebih-lebih lagi dengan pada memory foam sisi kiri dan kanan. Ia memberi tekanan yang agak kuat pada keseluruhan telinga dan pemakaian pada jangka masa yang panjang menjadikan saya kurang selesa.
Tapi, kompromi harus dilakukan sekirangnya anda inginkan sebuah headset dengan tahap mobiliti yang tinggi. Jika tak, anda tersangkut dengan headset besar gedabak seperti Razer Tiamat ini.
Kesimpulan
Dua produk daripada Plantronics yang saya uji ini memang berkualiti. Tidak hanya pada kualiti binaan, prestasi lebih-lebih lagi pada kualiti audionya yang mengasyikkan, sekurang-kurangnya pada gegendang telinga saya.
Beberapa senario yang saya fikirkan produk-produk ini akan menyerlah adalah seperti berikut:
- Anda seorang pemain tegar Pokemon Go ataupun Ingress yang sentiasa perlu berkomunikasi dengan ahli kumpulan yang lain melalui Discord.
- Anda seorang pelajar di bandar Kuala Lumpur yang berulang-alik antara kolej dan kampus dan memerlukan headset bertahap mobiliti tinggi.
- Anda miliki sebuah tablet seperti Huawei MediaPad M3 Lite yang ada fungsi telefoni dan anda perlukan sebuah headset Bluetooth berkualiti untuk menggunakan fungsi tersebut.
Kedua-dua produk yang saya cuba dalam artikel ini dijual pada harga seperti berikut:
- Plantronics Voyager 3240 – RM 589
- Plantronics BackBeat 505 – RM 499
Hadir dengan jaminan 2 tahun, anda boleh membeli apa-apa produk Plantronics daripada senarai pengedar sah di laman rasmi mereka.