HTC U11+ masih percaya dengan sistem satu kamera

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Brightstar Malaysia hari ini melancarkan telefon pintar HTC U11+ untuk pasaran Malaysia. Ia merupakan telefon terbaik dari HTC buat masa ini.

HTC U11+ adalah sebuah telefon yang besar, dengan skrin 18:9 bersaiz 6-inci, serta resolusi tinggi QHD+ 2880×1440. Saiz badan yang besar, membolehkan bateri sebesar 3,930mAh dipasang di dalamnya. Bateri ini menyokong pengecasan pantas QuickCharge 3.0.

Telefon ini memang perkasa kerana ia memiliki pemproses Snapdragon 835, bergandingan dengan 6GB RAM & 128GB storan. Nampaknya Malaysia menerima versi yang tertinggi.

HTC masih menggunakan sistem satu kamera belakang, iaitu sensor UltraPixel 3 12MP f/1.7 yang disertakan penstabil imej optikal (OIS). Kamera hadapan pula 8MP f/2.0.

Fungsi unik ‘Edge Sense’ di mana pengguna boleh menjalankan arahan dengan menggenggam telefon juga terdapat di dalam U11+. Telefon ini juga kalis air IP68 dan menjalankan sistem operasi Android 8.0 terbaru.

Sistem bunyi stereo Boom Sound Hi-Fi menjadi tulang belakang audio, dan HTC memberi fon kepala HTC USonic USB-C dengan penyaring bunyi bising aktif (ANC) memandangkan tiada port audio 3.5mm padanya.

Harganya pula sama seperti yang kami jangkakan sebelum ini iaitu RM3,099 termasuk GST. Ia akan mula dijual pada 22 Januari, tetapi tempahan awal akan dibuka dari 15-21 Januari 2018. Tempahan awal akan menerima hadiah percuma bernilai lebih RM250 dan boleh dibuat di Lazada, 11street dan Shopee.

Untuk maklumat lanjut tentang telefon ini serta mencari wakil penjual, layari laman web www.brightstarcorp.com.my/u11plus.

BACA  Apple Malaysia turunkan harga iPhone 7 dan iPhone 8