Laptop Dell XPS 13 pecah rekod skrin bingkai ternipis

Laptop Dell yang paling menggiurkan dan baru sahaja diperkenalkan di pameran CES 2018 di Amerika Syarikat minggu lepas, diumumkan akan tiba di Malaysia hujung bulan ini. Laptop Dell XPS 13 diperkenalkan semasa bengkel #DellExperience bersama media dan blogger semalam.

Menurut Jarebb Chua, Pengurus Dell Malaysia & Singapura, orang ramai akan boleh mendapatkan laptop Dell XPS 13 serba baru mulai 26 Januari 2018, dengan harga bermula dari RM5,999.

XPS 13 adalah laptop premium Dell yang berkuasa tinggi, di dalam badan yang sangat nipis dan amat ringan. Ketebalannya hanyalah 7.8~11.6cm dengan berat 1.21kg sahaja.

Tarikan paling utamanya adalah skrinnya hampir tiada bingkai. XPS 13 yang baru ini menampilkan paparan InfinityEdge dengan bingkai 23% lebih nipis berbanding sebelumnya, berukuran 13.3-inci dengan pilihan resolusi HD Penuh atau skrin sentuh Ultra HD 4K.

Dell menyediakan dua warna untuk XPS 13, warna perak platinum bersama kemasan gentian fiber hitam di dalam, serta warna baru Emas Ros dengan kemasan dalaman kaca fiber putih. Baterinya pula dikatakan mampu memberikan tenaga sehingga 19.5 jam penggunaan.

Bagi kuasa dalaman, XPS 13 dibekalkan dengan pilihan pemproses Intel Core-i generasi ke-8, RAM LPDDR3 sehingga 16GB serta storan SSD sehingga 1TB. Kuasa grafiknya digerakkan oleh cip Intel UHD Graphics 620.

Satu kekurangan pada XPS 13 adalah ketiadaan port USB-A. Tetapi dengan 3 port USB-C padanya agak mencukupi, apatah lagi ia berkeupayaan PowerShare, DisplayPort dan digunakan sebagai pembekal kuasa. Selain itu ia memiliki slot mikroSD dan port audio 3.5mm.

Beberapa perkakas baru akan mengiringi kedatangan XPS 13 ini. Seperti sleeve dengan pilihan warna hitam atau putih, Powerbank NoteBook dengan sambungan USB-C, adaptor mudah alih USB-C (DA300) serta monitor 27″ InfinityEdge QuadHD HDR+.

BACA  Memandu dengan lebih tenang bersama Google Maps dan Spotify

Berminat untuk memiliki Dell XPS 13 serba baru ini? Nantikan ketibaannya pada 26 Januari 2018 melalui laman web Dell Malaysia serta pengedar sah di seluruh Malaysia, dengan harga bermula dari RM5,999. Boleh dapatkan maklumat lanjut di laman produk Dell XPS 13 USA dulu.

Sementara itu, nikmati gambar laptop Dell XPS 13 yang kami tembak sendiri di bawah ini.