OPPO A83 untuk penggemar swafoto berpoket ketat

OPPO Malaysia hari ini memberi bayangan akan memperkenalkan satu telefon pintar pakar selfie yang baru ke Malaysia. Mensasarkan pasaran kelas permulaan, OPPO A83 yang bakal tiba ini memiliki rupa seakan OPPO F5.

Ini kerana OPPO A83 memiliki skrin bernisbah 18:9 5.7-inci, tetapi sedikit kecil dari OPPO F5 yang berukuran 6.0-inci. Resolusinya juga lebih rendah, hanya HD+ 1440×720.

Spesifikasi OPPO A83 kelihatan di kelas pertengahan. Ia menggunakan pemproses MediaTek MT6763T (Helio P23) bersama RAM 3GB dan storan 32GB. OPPO A83 memiliki tiga slot kad berasingan, yang memuatkan dua kad sim nano dan satu kad mikroSD sehingga 256GB.

Kamera hadapan pakar selfienya menggunakan sensor 8MP f/2.2, sudah pasti dilengkapi pengecaman kecantikan melalui kecerdasan pintar (AI). Kamera belakangnya hanya satu lensa, 13MP f/2.2 dan berkeupayaan merakam gambar 50MP melalui mod Ultra-HD.

Satu kekurangan besar adalah ketiadaan pengimbas capjari. Tetapi OPPO A83 berkeupayaan membuka kunci skrin melalui pengecaman wajah.

Telefon ini memiliki bateri 3,180mAh dan dicas melalui sambungan mikroUSB. Antaramukanya menggunakan ColorOS 3.2 berteraskan sistem operasi Android 7.1 Nougat.

OPPO Malaysia memaklumkan ia akan mula menjual OPPO A83 pada 23 Januari 2018, dengan dua warna iaitu Emas dan Hitam. Harganya tidak pula dinyatakan tetapi salah satu penjual telah pun memaparkan harganya. DirectD meletakkan tanda harga RM999 untuk OPPO A83 di laman webnya.

Dengan tanda harga dan spesifikasi sebegini, pesaing OPPO A83 adalah seperti ASUS ZenFone Max Plus (RM899) dan honor 7X (RM1,099).

BACA  OnePlus 6T Set Rasmi Sedia Ditempah Pengguna Malaysia