Pengguna diberi kawalan penuh prestasi dan bateri dalam iOS 11.3

Apple hari ini mengumumkan kemaskini sistem operasi iOS 11.3, kini dilepaskan dalam versi beta. Kemaskini ini dilengkapi beberapa naiktaraf, di antaranya memberi pengguna pilihan untuk mematikan kawalan yang memperlahankan prestasi iPhone lama kerana masalah bateri.

Kemaskini iOS 11.3 ini akan dilepaskan sepenuhnya sekitar suku kedua tahun ini. Versi beta yang dilepaskan hari ini, masih belum memuatkan fungsi kawalan bateri ini tetapi ia dijanjikan akan dimuatkan tidak lama lagi. Ia juga akan memperlihatkan maklumat tentang kesihatan bateri untuk iPhone 6 dan ke atas.

Pengenalan butang kawalan ini dibuat selepas Apple dikritik orang ramai kerana cuba memperlahankan prestasi iPhone, disebabkan masalah bateri lama yang dikatakan memberi kesan kepada jangka hayat telefon. Ia juga langkah tambahan yang dibuat Apple selepas memperkenalkan program penggantian bateri, pada harga diskaun RM129 sahaja.

Selain fungsi mengawal prestasi dan bateri ini, Apple turut menambah 4 lagi animoji baru yang boleh digunakan di iPhone X, menjadikan jumlah keseluruhan animoji kepada 16. 4 animoji baru tersebut adalah singa, beruang, naga dan tengkorak.

Lain-lain fungsi yang akan terdapat pada iOS 11.3 adalah paparan Augemented Reality (AR) boleh mengesan permukaan menegak seperti dinding, dan tambahan bahagian maklumat kesihatan (Health Records) di dalam aplikasi Health.

Laporan penuh kemaskini iOS 11.3 ini boleh didapati di laman web Apple.

[Sumber: Apple]

BACA  Apple Malaysia turunkan harga iPhone 7 dan iPhone 8