Jangan terkejut jika teman lelaki anda ada SCAND.A

Bukan yang pertama tapi lama dah tak ada. Hari ini sebuah telefon pintar dengan projektor terbina di dalam dilancarkan di Malaysia. Nama jenama yang diberi adalah SCAND.A.

Majlis pelancaran ini disempurnakan oleh YTM Raja Dato’ Seri Eleena Binti Almarhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Al-Maghfur. Ia juga menandakan ketibaan jenama SCAND.A di 11 buah negara Asia Tenggara dan India.

SCAND.A diuruskan oleh syarikat Clover Consulting International Limited, yang berdaftar di Hong Kong. Mereka telah menjalin kerjasama dengan syarikat Guangzhou Super Grand Electronic Technology Co Ltd China, untuk menghasilkan “peranti mudah-alih dengan kebolehan projektor pintar“.

Model pertama keluaran mereka adalah SCAND.A Scandalize. Ia dijual di Malaysia dengan tanda harga RM2,488, tetapi tempahan awal menerusi laman web www.scand-a.com boleh membelinya pada harga RM2,088. Tetapi mereka tidak menjelaskan pula jangka masa tempahan ini.

Telefon pintar projektor SCAND.A Scandalize memiliki kuasa pemproses Mediatek MTK6753 8-teras, RAM 3GB serta storan dalaman 64GB.

Skrinnya berukuran IPS 5.5-inci HD Penuh, dengan bateri yang agak besar berkapasiti 4,500mAh. Pengecas 5V/2A disertakan bersama kabel USB-C.

Projektor yang terbina di dalam telefon pintar ini memiliki kecerahan 80 lumen, menggunakan LED keluaran OSRAM dengan jangka hayat sehingga 20,000 jam. Ia boleh membuat pancaran sehingga resolusi HD 1280×720.

Ketua Pegawai Eksekutif Clover Consulting, Tengku Faizwa Tengku Razif memaklumkan, SCAND.A akan hadir dengan lebih banyak produk pintar lain di masa depan, tidak terhad kepada telefon pintar sahaja. Mereka mensasarkan untuk menjual 100,000 unit SCAND.A dengan sasaran utama di Indonesia, Filipina dan India.

Sebenarnya, konsep projektor di dalam telefon pintar bukanlah perkara baru. Lama dahulu sekitar tahun 2012, Samsung pernah melancarkan telefon pintar dengan projektor terbina di dalam, Galaxy Beam. Tidak lama sebelum ini, Motorola telah menghasilkan mod projektor tambahan yang dikenali sebagai Moto Mods Insta Share, di mana ia boleh digunakan dengan telefon pintar Moto yang menyokong Moto Mods.

BACA  Google Pixel 3 kekal dengan prinsip satu kamera belakang

Melihatkan harganya yang agak tinggi berbanding spesifikasi, mungkin alternatif lain seperti membeli telefon pintar dan projektor piko berasingan lebih berbaloi.

Sambil tu, layan dulu gambar yang kami ambil berkaitan SCAND.A Scandalize di bawah ini.