Honor akan bawa telefon pintar dengan kuad kamera ke Malaysia

Hari ini, satu emel dari honor Malaysia tiba di kotak inbox kami. Isinya tidak berapa berisi, melainkan sepotong ayat dan sekeping gambar yang mengatakan, Someting Exciting is Coming dan E9ually Beautiful (sesuatu yang menarik akan datang dan s9ma cantik).

Tidak lain tidak bukan, ini pastinya memberi petunjuk tentang ketibaan telefon pintar baru honor ke Malaysia tidak lama lagi. Tetapi model yang manakah? Tidak lama dahulu, honor 9 pernah diwar-warkan mahu datang ke Malaysia, tetapi pelan tersebut tidak menjadi.

Dari gambar di dalam emel tersebut, ia menayangkan empat bulatan. Pastinya ini merujuk kepada lensa kamera yang terdapat padanya. Dari sini, kami jangkakan ia merujuk kepada telefon pintar honor 9 Lite yang telah dilancarkan di China dan India sebelum ini.

Ini kerana honor 9 Lite memiliki 4 lensa kamera, dua di belakang dan dua di hadapan. Kedua-dua kamera depan dan belakang ini menggunakan lensa 13MP + 2MP.

Dari segi prestasi, honor 9 Lite tergolong dalam kelas pertengahan kerana memiliki pemproses Kirin 659, bersama pilihan 3GB RAM + 32GB storan atau 4GB RAM + 64GB storan. Spesifikasi sebegini kelihatan seperti honor 7X yang telah sedia dijual di Malaysia.

Tetapi honor 9 Lite memiliki banyak perbezaan dari honor 7X, seperti badannya yang menggunakan kaca di belakang, serta sistem operasi yang lebih baru digunakan iaitu Android 8.0 Oreo bersama antaramuka EMUI 8.0.

Walaupun menggunakan paparan bernisbah 18:9, skrin honor 9 Lite lebih kecil dengan ukuran 5.65-inci berbanding 5.93-inci di honor 7X. Tetapi resolusinya sama iaitu HD Penuh+ 2160×1080.

Dari segi harga, di India honor 9 Lite dijual tidak jauh berbeza dengan honor 7X. Spesifikasi 3GB/32GB dijual pada harga Rs10,999 (~RM673) manakala model 4GB/64GB pula Rs14,999 (~RM917).

BACA  honor 8X dengan skrin 91% disahkan tiba tidak lama lagi

honor 7X pula dijual di India pada harga Rs12,999 (~RM795) bagi model 4GB/64GB dan Rs15,999 (~RM979) untuk 4GB/64GB. Untuk perbandingan, honor 7X di Malaysia baru sahaja berharga RM1,099 dengan spesifikasi 4GB/64GB. Boleh dijangkakan jika benar honor 9 Lite ini tiba di Malaysia, ia akan dijual di bawah RM1,000.

Tidak dimaklumkan bila pula telefon baru honor ini akan dilancarkan di Malaysia, tetapi kami merasakan ia akan dilakukan dalam masa kurang sebulan dari sekarang. Mungkin ia mahu mendahului bahang pelancaran produk dari pameran MWC 2018 yang akan berlangsung di Barcelona hujung bulan ini.