Harga Galaxy S9 di Malaysia kekal sama seperti Galaxy S8

Sejurus selepas pelancaran Samsung Galaxy S9 dan S9+ di Barcelona, Presiden Samsung Malaysia bertemu dengan pihak media Malaysia untuk berkongsi maklumat lanjut berkenaan peranti baru ini, terutama berkenaan pasaran Malaysia

Menurut Presiden Samsung Malaysia, Yoonsoo Kim, Malaysia termasuk dalam gelombang pertama penjualan Galaxy S9 iaitu pada 16 Mac 2018. Bagi yang berminat untuk memilikinya pada hari tersebut, pra-tempahan akan dibuka bermula hari Khamis ini, 1 Mac hingga 4 Mac 2018. Mereka yang membuat tempahan awal ini akan menerima hadiah percuma berupa speaker Bluetooth Harman Kardon Onyx Mini bernilai RM699.

Presiden Samsung Malaysia, Yoonsoo Kim

Berkenaan harga pula, Malaysia akan menerima satu model Galaxy S9 dan tiga model Galaxy S9+ iaitu:

  • Galaxy S9 64GB – RM3,299
  • Galaxy S9+ 64GB – RM3,799
  • Galaxy S9+ 128GB – RM3,999
  • Galaxy S9+ 256GB – RM4,399

Dari sini kita dapat melihat Samsung Malaysia cuba mengekalkan harga pelancaran Galaxy S9 sama seperti Galaxy S8, tetapi Galaxy S9+ dinaikkan harga RM100 dari Galaxy S8+ sebelum ini. Walaupun storan masih sama 64GB, Galaxy S9+ kini dilengkapi RAM lebih besar 6GB.

Sebanyak tiga warna akan ditawarkan di Malaysia untuk kesemua model Galaxy S9 iaitu Midnight Black, Lilac Purple & Coral Blue. Tiada warna Titanium Gray.

Bagi pemilik telefon pintar lama, Samsung Malaysia akan turut mengadakan program tukar tebus telefon lama kepada Galaxy S9 di mana pembeli boleh mendapat rebat dari telefon pintar lama mereka. Program ini tidak terhad kepada telefon pintar Samsung sahaja.

Dengan pelbagai penambahbaik di Galaxy S9 seperti kamera dwi-apertur, rakaman video Super Slow-mo 960fps, speaker stereo Dolby Atmos ditala AKG, AR Emoji dan banyak lagi, sememangnya ini adalah telefon pintar flagship yang bukan sahaja berkuasa tinggi, tetapi lebih produktif dan menghiburkan.

Jika anda mahu menjadi yang terawal memilikinya di Malaysia, jangan lupa membuat tempahan bermula 1 Mac ini. Sambil tu, semak maklumat lanjut tentang Galaxy S9 dan S9+ semasa pelancarannya di sini.

KEMASKINI: Laman web tempahan Samsung Galaxy S9 di Malaysia telah aktif. Boleh dilawati di sini.