Matebook X Pro Mahakarya Huawei Dengan Engsel Sejari

Hanya menggunakan jari telunjuk saja saya mampu mengangkat panel paparan Matebook X Pro hasilan Huawei ini. Begitulah mantapnya serum kejuruteraan yang disuntik mereka dalam penghasilan laptop terbaru daripada mereka ini.

Sejurus panel paparan selesai dibuka, saya dihidangkan degnan panel paparan LTPS beresolusi 3K (3000 x 2000). Bingkai yang melindungi panel paparan itu amat nipis hinggakan tiada ruang untuk meletakkan webcam. Tapi beranikah Huawei menidakkan kehadiran webcam? Huawei temui satu penyelesaian bijak.

Dalam kalangan bebutang keyboard, anda akan menemui satu yang bercetak imej webcam. Tekan saja dan butang itu terangkat lalu mendedahkan komponen webcamnya. Ok la, 1MP cukup-cukup makan saja untuk ber-Skype ataupun bersidan video ringkas.

Permukaan touchpad-nya luas dan mudah untuk dikendalikan. Jika malas menggunakan touchpad, sentuh saja panel paparan kerana ia menyokong input sehingga 10 jari serentak.

Dalam banyak-banyak kelebihan Matebook X Pro ini, hanya satu USB-A saja yang disediakan. Kalau anda gunakan tetikus berkabel, sudah tiada port untuk pemacu kilat.

Rupa yang langsing jangan disangka tak berbisa. Lihat saja pada helaian spesifikasi saya berani katakan yang ia berada dalam golongan laptop professional yang mampu melakukan tugasan-tugasan berat.

Antara komponen-komponen yang boleh anda temui adalah seperti:

  • Intel Core i7-8550U/8250U
  • NVIDIA GeForce MX150
  • 8/16 GB LPDDR3
  • 256/512GB SSD

Pabila ditanya harganya, si penjaga kaunter menyatakan bahawa maharnya bermula EUR 1,400 (RM 6,729). Lalu, longlai saya melangkah pergi pulang ke perkampungan media.

Untuk yang ingin meminangnya, bolehlah amati biodatanya di sini.

Sekian saja laporan dari reruai Huawei di MWC 2018.