Siapa di sini yang tidak mengenali unifi mobile dari TM, yang membawakan konsep #KreditTakMati dan #BayarBilaBila. Bermakna, pengguna tidak lagi perlu risau akan data atau panggilan yang tidak digunakan terbuang begitu saja, kerana tiada tempoh sah kredit prabayar. Ditambah lagi dengan promosi 20GB data LTE percuma, memang ramai yang berkejar mendapatkannya.
Tetapi orang ramai masih ragu-ragu dengan konsep yang dibawakan ini, apakah maksud sebenar #KreditTakMati? Betul ke tidak perlu beli kredit prabayar setiap bulan? Benarkah panggilan, SMS dan data yang ada tidak akan mati?
Di dalam FAQ di laman web mereka, ia menyatakan talian unifi mobile akan kekal aktif asalkan ada penggunaan keluar, membuat tambah nilai atau membeli add-on dalam masa 90 hari.
Bunyi macam senang kan? Tetapi baru-baru ini ada pengguna yang menerima SMS yang memberitahu sebaliknya.
Dalam SMS di atas, ia memberitahu pengguna untuk membeli add-on data, panggilan atau SMS sebelum tarikh tersebut jika mahu talian kekal aktif. Ini bertentangan dengan apa yang dibawakan oleh #KreditTakMati.
Kenapa pengguna perlu membeli add-on jika mereka tidak memerlukannya? Tempoh sah adalah 90 hari, kena perlu membeli add-on sekarang?
Kami menghubungi seseorang dari bahagian produk dan diberitahu, tempoh sah 90 hari unifi mobile akan direset semula dengan membuat salah satu dari perkara berikut:
- Membuat panggilan keluar, atau
- Menghantar SMS keluar, atau
- Melayari internet sebanyak 1MB, atau
- Membuat tambah nilai mana-mana amaun antara RM10, 30, 50, 100, atau
- Membeli mana-mana pas data, suara atau SMS.
Merujuk kembali ke ruangan FAQ seperti di bawah ini, mana-mana penggunaan sudah mencukupi untuk mengekalkan keaktifan talian, walaupun mempunyai baki yang tidak digunakan tanpa perlu membuat tambah nilai. Sudah cukup jelas, sebarang aktiviti di talian unifi mobile sudah cukup untuk mengekalkan data, panggilan dan SMS yang tidak digunakan.
Untuk memastikan apa yang sebenarnya berlaku, kami berhubung dengan TM Unifi Live Chat di laman web untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Khidmat Pelanggan #1
Orang pertama yang dihubungi di TM Live Chat ini menyatakan tambah nilai setiap 90 hari adalah perlu untuk mengelakkan talian ditamatkan. Apabila diberitahu tentang FAQ, beliau masih kekal dengan pendirian, tambah nilai atau pembelian add-on masih perlu untuk mengekalkan talian.
Khidmat Pelanggan #2
Kami cuba sekali lagi menghubungi TM Live Chat dengan orang lain dan bertanyakan soalan yang sama seperti di FAQ mereka. Agak mengejutkan, jawapan yang sama diterima. Tambah nilai atau pembelian add-on (walaupun masih ada baki) perlu dibuat untuk mengekalkan talian. Jika tidak, talian akan ditamatkan perkhidmatan.
Khidmat Pelanggan #3
Sekali lagi, kami menghubungi khidmat pelanggan tetapi kali ini melalui aplikasi unifi mobile. Pada mulanya, beliau menyatakan tiada tarikh tamat untuk data, suara dan panggilan tetapi kemudiannya memberitau, penggunaan berbayar perlu dibuat dalam masa 90 hari untuk mengekalkan talian. Apabila diminta penjelasan, penggunaan berbayar ini termasuk pembelian add-on atau tambah nilai.
Apabila diminta mengesahkannya, wakil khidmat pelanggan ini menyemak semula dengan orang lain dan memberitahu, sesiapa sahaja boleh menggunakan mana-mana data, suara atau SMS yang diberikan percuma untuk mengekalkan talian aktif setiap 90 hari. Sama seperti kefahaman awal kami.
Pengalaman menghubungi khidmat pelanggan TM Live Chat ini amat mengecewakan, tetapi mereka dilihat hanya menuruti dokumen standard yang diberikan kepada mereka. Dari respon yang diberikan, seperti tidak ada kesinambungan antara mereka dan maklumat produk. FAQ dengan jelas menyatakan talian kekal aktif dengan sebarang penggunaan tetapi maklum balas dari khidmat pelanggan serta SMS baru yang diterima menceritakan kisah yang sama sekali berbeza.
Masih banyak yang perlu unifi mobile perbaiki. Jika #KrediTakMati dan #BayarBilaBila adalah perbezaan yang cuba mereka ketengahkan, mereka harus meletakkan terma dan syarat yang jelas serta telus kepada pelanggan. Pengguna hari ini sememangnya tidak mempercayai telco kerana pengalaman buruk mereka terhadap syarat dan terma tersembunyi. Jika benar tambah nilai perlu dibuat setiap 90 hari, ini bermakna kredit ada tempoh mati dan adalah satu penipuan mengatakan ia tidak mati.
Kami ingin mencadangkan kepada unifi mobile, untuk meletakkan tarikh tamat tempoh di dalam aplikasi unifi mobile. Selain itu, mereka juga boleh menyediakan kod USSD untuk menyemak baki akaun dan tarikh tampat tempoh seperti kebanyakan prabayar lain. Paling penting, TM harus memastikan khidmat pelanggan mereka memberikan maklumat yang tepat untuk mengelakkan kekeliruan.
Kami juga telah menghubungi TM untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang tarikh tamat tempoh ini dan akan mengemaskini di sini jika ada maklumat baru.
[Maklumat asal dari SoyaCincau]