[Reviu] Tronsmart Presto 10,000mAh Badannya Bergetah, Tenaganya Sarat

Pendahuluan

Tronsmart ialah salah satu pengeluar powerbank terkemuka. Mereka baru saja menandakan kemunculan rasmi mereka di Malaysia baru-baru ini. Sungguhpun begitu, sebelum kehadiran rasmi mereka, produk Tronsmart sudahpun berada dalam pasaran kita.

Powerbank adalah satu keperluan dalam era ini. Ia membantu kita membekalkan jus tenaga pada peranti semasa kita berada di luar. Bagi kebanyakkan pengguna, memilih powerbank adalah semudah melihat angka yang mendahului unit mAh untuk mengetahui kapasitinya.

Namun, powerbank, seperti anda memilih telefon, tetap memerlukan timbang tara si pengguna dalam proses membelinya.

Satu produk powerbank dari Tronsmart telah tiba di meja editor kami yang diberi nama Tronsmart Presto 10,000 (10k) mAh. Apa bezanya powerbank ini dengan lambakkan produk yang hampir serupa dalam pasaran sekarang? Teruskan membaca.


Rekaan

Sekilas pandang powerbank ini, Presto 10k mAh memiliki rupa yang unik berbanding yang lain. Kita biasa lihat powerbank berbadan besi sepenuhnya ataupun berbadan plastik sepenuhnya. Tapi, badan Presto 10k mAh diselaputi lapisan getah sepenuhnya.

Badan yang diliputih getah memberi lebih cnegkaman semasa memegangnya. Semasa berada di dalam beg juga ia tidak terpelantik ke sana ke mari semasa bergerak. Maka, ia mengurangkan powerbank ini mencalari barangan sekitarnya.

Sungguhpun kemasan ini saya rasa lebih baik daripada besi yang licin, lapisan getah akan mereput seiring dengan masa. Saya memiliki sebuah speaker yang menggunakan lapisan getah yang serupa dan ia kini mereput dan tertanggal dengan sedirinya dan kini speaker itu kelihatan comot. Saya harap keadaan ini hanya berlaku selepas bateri Presto 10k sudah luput.

Untuk mengecas keluar, terdapat dua port USB disediakan. Salah satu port itu menyokong Quick Charge 3.0 (QC3.0) dan yang satu lagi ada teknologi proprietari VoltIQ yang dibangunkan Tronsmart. Ia akan mengoptimumkan arus yang dihantar kepada peranti mengikut keperluannya. Ia mengelakkan peranti daripad terlebih ataupun terkurang cas.

Lebih menarik, selain QC3.0, Presto 10k turut menyokong piawaian pengecasan pantas Huawei FCP.

Untuk memeriksa baki bateri yang masih tinggal didalamnya, anda boleh menekan butang pada bahagian sisi powerbank dan empat LED akan menyala bergantung pada jumlah tenaga yang tinggal. Ada empat lampu LED untuk mewakili 100% kapasiti, maka satu LED mewakili 25% kapasiti.

Antara ciri-ciri keselamatan yang ditawarkan pada powerbank ini adalah seperti:

  • Perlindungan daripada lebihan voltan, arus, dan suhu melampau
  • Perlindungan daripada litar pintas
  • Jaminan selama 18 bulan