Mengecas telefon sepatutnya tidak perlu dirumitkan. Tapi disebabkan terlalu banyak produk mengecas dan juga paras harga, ada pengguna yang mengalami masalah ketika mengecas telefon. Ada yang merungut mengecas telefon tidak sepantas dulu. Jika telefon anda dicas perlahan daripada sepatunya, anda perlu memeriksa tiga perkara berikut.
1. Sumber Tenaga
Mengecas telefon menggunakan peralatan ada dalam kotak telefon semasa dibeli adalah yang paling ideal. Ia bermakna, pengeluar sudahpun mengoptimumkan semua parameter pengecasan bagi pihak anda. Contohnya teknologi pengecasan pantas memerlukan voltan dan arus yang tertentu. Jika tidak, ia tidak akan diaktifkan, sudahnya telefon dicas pada kadar normal ataupun lebih parah, perlahan.
Tapi, bukan selalunya blok pengecas akan mengikuti kita kemana-mana bukan? Tambahan pula anda terkelih port USB pada dekoder ASTRO lantas terus mencucuk kabel USB dan mula mengecas.
Port USB pada peralatan rumah biasanya bukanlah bertujuan untuk mengalirkan tenaga yang besar. Ia direka untuk mengalirkan data dan tenaganya cuma 500mA ataupun sekali ganda lebih rendah daripada tenaga yang diguna untuk mengecas telefon.
Bukannya tidak boleh mengecas, tapi anda bolehlah menjangkakan kelajuan mengecas yang amat perlahan. Tapi kepantasan mengecas yang perlahan ada faedahnya. Selain memastikan telefon tidak terlebih panas, ia memelihara kecekapan bateri kerana tidak berisiko untuk “overcharge”.
Ada juga situasi blok pengecas asal anda rosak dan anda perlu membeli pengecas yang baru. Tapi apakah kriteria pemilihan pengecas pihak ketiga?
- Sila ikuti spesifikasi output pada blok pengecas asal. Segala maklumat dicetak pada blog pengecas itu sendiri.
- Beli daripada jenama ataupun penjual yang ada reputasi supaya keselamatan anda terjamin.
Perkara yang sama turut boleh diaplikasikan semasa anda memebeli pengecas telefon dalam kereta. Dua lagi perkara yang perlu diperiksa berada dalam halaman seterusnya.
[nextpage title=”Periksa Kabel & Telefon”]
2. Kabel
Seperti biasa, kabel mengecas yang hadir bersama telefon adalah yang terbaik. Namun begitu, ia tidak bermakna anda tak boleh gunakan kabel daripada pihak ketiga. Walaupun ia hanya sekadar kabel kuprum yang ditugaskan untuk menghantar arus elektrik kepada telefon, kabel turut memainkan peranan dalam persamaan megecas.
Jika dilihat lebih mendalam, kabel memang ada perbezaan atara satu sama lain. Asasnya, lebih tebal kabel, lebih banyak arus yang mampu dialirkan. Anda boleh ibaratkan kabel pengecas seperti paip air.
Dalam lapangan elektrik, ketebalan kabel dikelaskan menggunakan piawian American Wire Gauge (AWG). Biasanya, kabel USB diperbuat daripada kabel AWG 20 hingga 28, bergantung pada kegunaan. Diameter kabel AWG 20 hingga 28 adalah seperti berikut:
- AWG 20 = 0.812mm
- AWG 22 = 0.644mm
- AWG 24 = 0.511mm
- AWG 26 = 0.405mm
- AWG 28 = 0.321mm
Satu ujian telah dijalankan di sini bagi menunjukkan keupayaan kabel mengekalkan voltan semasa mengecas. Methodologinya adalah mengalirkan arus 1A 5V merentasi kabel USB sepanjang 1M yang memiliki ketebalan berbeza. Di hujung sebelah satu lagi kabel, voltan diukur dan direkodkan. Kehilangan voltan selepas merentasi kabel berlainan ketebalan adalah seperti jadual dibawah.
Kehilangan voltan pastinya mempengaruhi kepantasan pengecasan telefon anda. Jadi, apakah tips untuk membeli kabel pengecas?
- Beli produk OEM daripada pengeluar sah.
- Jika nak gunakan kabel pihak ketiga, pastikan spesifikasinya sama dengan yang asal.
- Gunakan kabel USB yang pendek untuk mengurangkan kehilangan tenaga disebabkan rintangan dalam kabel.
- Lihat ketebalan kabel dengan mata kasar jika tiada maklumat AWG dicetak pada kabel.
3. Telefon
Jika blok pengecas dan kabel pengecas tiada masalah, mungkin telefon anda sendiri yang bermasalah. Bateri tidaklah memiliki jangka hayat yang infiniti sebaliknya bergantung pada kitaran cas dan nyahcas.
Penyelesaian terbaik jika anda dapati terdapat masalah pada bateri adalah untuk menukarkannya dengan bateri yang baru. Kebanyakkan telefon masa ini tidak membenarkan pengguna membuka bahagian belakang telefon untuk menjalankan penukaran secara DIY.
Maka, anda perlu menghantarnya kepada pihak yang lebih arif seperti pusat servis rasmi ataupun kedai-kedai yang bertauliah.
Namun begitu, terdapat beberapa langkah yang boleh anda ambil bagi memanjangkan hayat bateri dan lebih baik jika anda amalkannya sejak hari pertama telefon itu bersama anda. 5 langkah tersebut adalah:
- Elakkan bateri berada dalam kepanasan atau kesejukkan melampau bagi memelihara “kesihatan” cecair elektrolit yang berada dalam bateri.
- Jangan biar telefon dinyahcas sepenuhnya kerana bateri ion lithium yang moden tidak mengalami kesan “memory effect“. Bateri yang kosong akan membuatkan elektrolit mengambil masa yang panjang untuk diuja semula untuk menyimpan cas elektrik.
- Jika ingin menyimpan telefon untuk satu jangka masa panjang, sebaiknya simpan dalam keadaan bateri sekitar 50% bagi meminimumkan kesan pengoksidaan elektrolit dan sepeterusnya memastikan kecekapan bateri pada tahap optimum apabila digunakan semula.
- Gunakan pengecas yang sesuai kerana bateri memerlukan jumlah voltan dan arus yang khusus supaya elektrolit boleh mengambil dan menyimpan tenaga. Jika terlebih tenaga dipam masuk, telefon akan mengalami overcharge dan jika kurang tenaga dipam masuk, tenaga bateri telefon akan mengalir keluar lebih banyak berbanding tenaga masuk.
- Hidupkan fungsi Airplane Mode untuk meminimumkan penggunaan tenaga oleh telefon agar pengecasan berjalan sepantas mungkin.
[Sumber: goughlui.com, wikipedia]