Kris Wu duta baru Xiaomi untuk Mi Mix 2s

Xiaomi akan mengadakan satu majlis pelancaran di China tidak lama lagi, di mana salah satu produk yang akan dilancarkan adalah Mi MIX 2s. Majlis pelancaran Mi MIX 2s nanti pasti lebih meriah apabila Xiaomi mengumumkan duta baru mereka untuk model tersebut.

Wu Yifan atau lebih dikenali sebagai Kris Wu, bekas anggota kumpulan super popular dari korea, EXO, telah kelihatan di poster pelancaran Mi MIX 2s. Perkara ini disebarkan sendiri oleh CEO Xiaomi, Lei Jun dan disahkan lagi Donovan Sung di akaun twitternya.

Apa yang penting dari poster ini, adalah rupa Mi MIX 2s yang dapat dilihat dipegang oleh Kris Wu. Ia menunjukkan Mi MIX 2s tidak mengikut trend telefon pintar masakini, iaitu takuk di dahi skrin.

Malah, ura-ura yang mengatakan akan terdapat takuk kecil di sudut atas skrin untuk kamera hadapan juga tidak kelihatan. Walaupun bahagian bawah skrin tidak dapat dilihat dengan jelas dari poster ini, berkemungkinan besar kamera hadapan akan kekal terletak di bawah skrin seperti model Mi MIX sebelum ini.

Badan belakang pula tidak ditunjukkan langsung, maka ura-ura yang mengatakan ia memiliki susunan dwi-kamera menegak seperti iPhone masih tidak dapat disahkan.

Mi MIX 2s dijangka memiliki prestasi hebat dengan kuasa dari pemproses Qualcomm Snapdragon 845 serta RAM sebesar 8GB. Storan sebanyak 256GB juga bakal dimuatkan di dalamnya. Jika ia mengikut kebiasaan Xiaomi, Mi MIX 2s tidak akan menyokong kad mikroSD.

BACA  Phablet Mi Max 3 dan gelang Mi Band 3 tiba di Malaysia hujung bulan ini

Majlis pelancaran Xiaomi ini akan diadakan pada hari Selasa depan, 27 Mac 2018 di China. Sama-sama kita nantikan maklumat lanjut tentangnya pada hari tersebut.

[Sumber: Donovan Sung, GSMArena]