vivo V9 mampu penuhi impian peminat iPhone X

Jika anda sukakan rekabentuk telefon Apple terbaru bersama beberapa fungsi baru yang terdapat padanya pada harga jauh lebih murah, kami cadangkan anda mencuba telefon pintar yang baru sahaja dilancarkan vivo, iaitu vivo V9. Ia dilancarkan bersama tiga duta vivo di Malaysia iaitu Janna Nick, Joyce Chu dan Alvin Chong.

Telefon pintar vivo V9 memang sangat menarik, luar dan dalam. Sekilas pandang depan dan belakangnya memang sangat seiras dengan telefon iPhone X. vivo V9 lengkap dengan skrin penuh FullView dengan takuk di atas yang memuatkan speaker panggilan dan kamera hadapan.

Manakala di belakang pula kelihatan dua kamera yang disusun menegak. Mata yang teliti melihat pasti dapat mengecam perbezaan ketara di belakang, kerana terdapat pengimbas capjari bersebelahan kamera.

Dari segi teknikal, vivo V9 dipasang skrin FullView 19:9 berukuran 6.3-inci dengan resolusi HD Penuh+ (2280×1080). Untuk kamera pula, sensor 24MP F2.0 digunakan sebagai kuasa utama kamera hadapan, dan sensor 16MP+5MP F2.0 pula gandingan dwi-kamera belakang.

Kamera di vivo V9 diperkasa dengan beberapa fungsi menarik untuk menghasilkan swafoto dan gambar terbaik. Antaranya Super HDR yang mengesan persekitaran dan membuat tetapan pencahayaan pintar untuk menghasilkan gambar yang lebih terang dan cerah.

Fungsi Face Beauty pula mengesan wajah pengguna dan mengenakan algoritma kecantikan yang bersesuaian untuk mengeluarkan hasil swafoto ideal. Jika iPhone X ada Portrait Lighting, vivo V9 pula ada Selfie Lighting yang boleh menghasilkan swafoto dengan kesan pencahayaan seperti di dalam studio.

Persamaan dengan iPhone X ditambah lagi dengan fungsi AR Stickers yang sama seperti iPhone X Animoji. Kelebihannya, AR Stickers di vivo V9 boleh digunakan di pelbagai aplikasi permesejan, seperti di WhatsApp.

Tidak ketinggalan, vivo V9 juga dilengkapi teknologi pengecaman wajah Face Access, untuk membuka kunci skrin seperti Face ID di iPhone X. Tetapi jika anda berasa kurang selesa, masih terdapat pengimbas capjari di belakang vivo V9 yang boleh digunakan membuka kunci skrin.

Jika mahu dicari perbezaan vivo V9 dan iPhone X, kami boleh katakan ia terletak di bawah telefon. Di mana vivo V9 masih mengekalkan port audio 3.5mm, selain sambungan mikroUSB 2.0 untuk penghantaran data dan mengecas bateri.

Untuk spesifikasi, vivo V9 menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 626, 4GB RAM dan 64GB storan dalaman, yang boleh diluaskan melalui kad mikroSD. Kapasiti baterinya hanya 3,260mAh, agak kecil bagi telefon sebesar ini.

Dua kad sim 4G boleh digunakan serentak di dalam vivo V9, tetapi kad kedua perlu berkongsi tempat dengan kad mikroSD. Sistem operasi Android 8.1 menjadi penggerak utama, bersama antaramuka FunTouch OS 4.0 yang amat menyerupai antaramuka iOS.

vivo V9 akan dijual di seluruh Malaysia bermula 31 Mac 2018 pada harga RM1,399. Terdapat dua warna ditawarkan, iaitu Hitam dan Emas. Tetapi kini vivo V9 ditawarkan untuk tempahan awal di Stor Rasmi vivo di Lazada yang menyediakan hadiah seperti speaker JBL, skin permainan AOV, kayu swafoto, fon kepala dan keychain. Paling menarik adalah jaminan panjang selama 18-bulan.

Jika anda mahukan pengalaman dalam dan luaran iPhone X pada harga hampir 1/4 sahaja, memang vivo V9 adalah pilihan teratas. Rasanya untuk RM1,399, vivo V9 memiliki pakej yang berbaloi terutama untuk peminat iPhone X dengan bajet kecil, atau penggemar swafoto.