Xiaomi Ajar Apple Yang Nirbingkai Tak Perlukan Notch

Di perkenalkan sebagai telefon konsep pada 2016, kini siri Mi MIX semakin releven dalam arus perdana. Mana taknya, dulu semua orang memandang pelik telefon ini kerana ia hadir dengan membawakan konsep nirbingkai yang masih belum boleh diterima kebanyakan orang. Setelah dua kali iterasi, yang ketiga ini pastinya yang terhangat.

Di Shanghai, China, Xiaomi Mi MIX 2S diperkenalkan. Masih mengekalkan konsep nirbingkai, rekaannya diperhalusi lagi. Bingkainya kini lebih nipis dan MIX 2S tak perlukan “notch” seperti iPhone X. Tapi kompromi perlu dilakukan demi menyisihkan “notch”, contohnya bahagian bingkai dagunya lebih luas berbanding tempat lain.

Kelemahannya adalah kamera depan masih diletakkan pada bahagian dagu yang menjadikan panggilan video agak janggal. Pada jabatan pengimejan, MIX 2S menerima tambah baik saujana dalam segenap pelosok.

Buktinya, telefon ini menerima markah DxOMark paling tinggi dalam sejarah Xiaomi untuk kategori foto.

Misalnya, sistem autofokusnya kini menggunakan sistem autofokus dualpiksel. Anda bolehj menjangkakan prestasi bidikan fokus yang lebih pantas. Sistem ini digunakan bermula Samsung Galaxy S7.

Untuk optik, konfigurasi dwikamera 12MP digunakan dengan salah satunya mempunyai jarak fokal yang lebih panjang untuk mengezum.

Kecerdasan buatan (AI) juga hadir pada produk ini seperti kebanyakkan telefon 2018. Beberapa helah yang ia miliki adalah seperti menyunting bahagian latar subjek supaya jadi bukan saja menarik, tapi nampak lebih kreatif berbanding kamera telefon yang ada fungsi simulasi bokeh.

Satu perkara menarik tentang MIX 2S adalah Xiaomi menyertakan bersama sekali pembantu maya hasilan Xiaomi sendiri yang dipanggil Xiao AI untuk bersaing bersama Bixby, Google Assistant, dan Siri.

BACA  Perayauan Data Yoodo Roam Like Home kini aktif di 53 negara

Pada model kali ini, ia diperkasa pemproses flagship 2018 serta komponen-kompnen premium yang lain. Anda beroleh sebuah telefon yang dikuasakan Snapdragon 845. Ia menjadikan MIX 2S adalah telefon pertama dari China yang menggunakan cip ini. Ia  ditemani RAM sebesar sehingga 8GB serta storan sekurang-kurangnya 256GB.

Kesemua kelengkapan premium ini mengambil tenaga daripada bateri berkapasiti 3,400mAh. MIX 2S kini menyokong pengecasan wayarles dan anda boleh mendapatkan plat pengecas 7.5 watt yang adalah antara yang terpantas dalam industri setakat ini.

Daripada segi harga, ia dijual di China dengan tanda nilai bermula RMB 3,299. Butiran harga adalah seperti berikut

  • Xiaomi Mi MIX 2S RAM 4GB storan 64GB – RMB 3,299 (RM 2,041)
  • Xiaomi Mi MIX 2S RAM 6GB storan 128GB – RMB 3,599 (RM 2,226)
  • Xiaomi Mi MIX 2S RAM 8GB storan 256GB – RM3,999 (RM 2,474) (percuma 3 plat pengecas wayarles)

Di Malaysia, model yang terdahulu, Mi MIX 2, dijual pada harga RM2,199. Ia adalah model RAM 6GB dan storan 64GB.