[Reviu] Lenovo Tab 4 10 Plus Adalah Yang Terbaik Dalam Kelasnya

Pendahuluan

Pasaran tablet Android agak suram sejak kebelakangan ini. Hal ini mungkin kerana saiz paparan telefon yang semakin besar membuatkan tablet menjadi kurang releven, lebih-lebih lagi dengan dominasi kukuh iPad dalam pasaran.

Tapi ia tidak merencatkan usaha pengeluar seperti Lenovo untuk mengimarahkan sektor tablet dengan penawaran produk-produk menarik. Contohnya Lenovo Tab 4 10 Plus yang dilancarkan mereka sekitar November 2017.

Selari dengan namanya, ia adalah sebuah tablet 10″. Dengan skrin sebesar ini, pelbagai perkara boleh dilakukan dengannya termasuklah kerja-kerja menaip. Adakah Lenovo Tab 4 10 Plus mampu memenuhi keperluan ber-tablet anda? Teruskan membaca

Rekaan

Secara asasnya, Lenovo Tab 4 Plus menerapkan rekaan tablet konvesional. Tiada apa-apa yang mengagumkan jika dilihat pada rupa paras. Bingkainya besar di segenap sudut, belakangnya disudahkan dengan selaput getah hitam.

Ia bukanlah satu masalah buat saya kerana konvesional tidak bermakna teruk. Bingkai yang besar bermakna ia selesa dipegang tanpa melindungi paparan, kemasan getah meningkatkan cengkaman dan memegangnya berasa yakin walaupun tanpa casing.

Direka untuk dikendalikan secara melintang. Pengimbas cap jari terletak pada bahagian bawah manakala kamera depan terletak pada bahagian tengah dahi.

Pada bahagian kiri, anda boleh menemui slot SIM berserta port USB-C dan audio jack. manakala bahagian kanan pula buang kuasa dan kawalan suara.

Pengalaman Mengguna & Kesimpulan

Dilihat pada helaian spesifikasi asas, Tab 4 10 Plus adalah sebuah Moto G5S Plus berskrin besar. Pada papan utama anda akan menemui komponen seperti:

  • Snapdragon 625
  • RAM 3GB
  • Storan 16GB
  • WiFi 802.11a/b/g/n/ac
  • Bluetooth 4.2

Untuk paparan, ia diberikan panel beresolusi 1920×1200. Ia adalah skrin HD penuh dengan nisbah 4:3, nisbah yang sama ditemui pada sehelai kertas A4.

BACA  Melihat OPPO Find X "Didera" Amat Menyeriaukan

Makanya, kerja-kerja pejabat seperti menaip dokumen menggunakan tablet ini adalah baik. Anda boleh gunakan aplikasi seperti Google Docs untuk tujuan itu.

Sepasang speaker hadir di bahagian atas tablet. Hal ini bermakna, selain melakukan tugasan pejabat, tablet ini miliki upaya untuk mainkan peranan sebagai pusat multimedia.

Ditambah pula dengan adanya slot kad SIM pada bahagian kanan tablet, ia adalah pemain multimedia bergerak sekiranya anda melanggan pelan dengan data tanpa had. Kualiti bunyi memang padu, lengkap dengan getaran bass dan pada saya, ia adalah antara speaker tablet terkuat pernah saya cuba.

Bermain games? Snapdragon 625 beserta RAM 3GB memang cukup kuat untuk memainkan permainan hatta yang berat sekalipun. Mobile Legends berjalan tanpa lelah ataupun lagging.

Fizikal yang besar bermakna terdapat banyak ruang yang boleh dimanfaatkan. Ternyata Lenovo tidak membazirkan ruang yang ada apabila bateri 7,000mAh digunakan. Amat sukar untuk menghabiskan bateri ini dalam masa yang pantas.

Saya mainkan 4 filem terus menerus dengan lebih 2 jam setiap satu semata-mata ingin menghabiskan bateri dan teryata ia hanyalah “kacang” buat Lenovo kerana daripada 100% masih ada baki 40% untuk digunakan.

Tapi mengecas tablet ini agak perit kerana ketiadaan pengecasan pantas. Anda diberikan pengecas 5.2V/2A iaitu bersamaan 10.4watt sahaja dan untuk mengecas 7,000mAh, kuasa itu agak rendah dan mengambil lebih 2 jam.

Kesimpulan

Bagi saya, Lenovo Tab 4 10 Plus adalah sebuah tablet dwifungsi. Bukan sahaja boleh bertindak sebagai tablet kerja dengan ruang paparan yang luas, ia juga berperanan sebagai tablet multimedia dengan kehadiran speaker stereo dengan cap Dolby Atmos beserta paparan HD Penuh.

Agak sukar untuk mencari tablet yang dilengkapi slot SIM dan Lenovo Tab 4 10 Plus menyediakannya tanpa masalah. Dengan sambungan LTE dan WiFi, anda boleh kekal berhubung dengan Internet tidak kira masa dan tempat.

BACA  Ini senarai aplikasi Google yang boleh menjimatkan bateri

Untuk sebuah tablet yang berharga RM1,299, ternyata Lenovo Tab 4 10 Plus adalah tablet yang paling berbaloi untuk dimiliki dalam kelasnya.

 

Share