CloudFlare lancar DNS Awam yang lebih pantas dari Google dan Cisco

CloudFlare merupakan sebuah syarikat yang menyediakan khidmat Content Delivery Network (CDN) dan perlindungan serangan DDoS di laman web. Mereka baru-baru ini melancarkan satu servis DNS Awam percuma yang dipanggil 1.1.1.1.

1.1.1.1 ini bukanlah alamat laman web yang terbuka jika anda bersambung ke WiFi percuma. Sebaliknya CloudFlare 1.1.1.1 mahu menjadikan pengalaman anda berinternet lebih pantas sambil menjaga kerahsiaan trafik internet anda.

Apakah itu DNS? DNS atau Domain Name Server adalah sebuah pelayan atau server yang dirujuk oleh pelayar apabila pengguna menaip alamat laman web. DNS mengubah alamat seperti www.soyacincau.com kepada alamat IP (contohnya 123.34.45.67) yang boleh difahami mesin.

Secara lalai, semua peranti menggunakan DNS yang disediakan oleh penyedia internet yang selalunya agak perlahan. Contohnya, Telekom Malaysia menggunakan DNS di alamat 202.188.18.188 dan 1.9.1.9.

Bagi sesetengah pengguna yang sedia mengetahui tentang penggunaan DNS, pastinya ada yang telah bertukar kepada DNS lain seperti Google DNS (8.8.8.8/8.8.4.4) atau Cisco OpenDNS (208.67.222.222/208.67.220.220)

CloudFlare melancarkan 1.1.1.1 dengan kerjasama APNIC. Paling penting, CloudFlare berjanji tidak akan menyimpan sebarang log berkaitan aktiviti internet pengguna. Untuk itu, CloudFlare mendapatkan khidmat KPMG untuk mengaudit sistem mereka setiap tahun bagi memastikan privasi pengguna terjaga.

Dari segi kelajuan, CloudFlare menyatakan servis DNS mereka adalah yang terpantas di dunia. Kajian yang dibuat DNSPerf mendapati 1.1.1.1 mengambil masa 14ms sahaja untuk memproses DNS, berbanding OpenDNS 20.6ms dan GoogleDNS pula 34.7ms.

Jika anda mahu mencuba CloudFlare DNS ini, anda boleh masukkan angka di bawah ini ke dalam tetapan rangkaian peranti anda:

  • IPv4: 1.1.1.1 dan 1.0.0.1
  • IPv6: 2606:4700:4700::1111 dan 2606:4700:4700::1001

Untuk mengetahui lebih lanjut tentang CloudFlare DNS, layari laman web https://1.1.1.1.