[Reviu] Redmi 5 Peneman Setia Anda Yang Tak Banyak Songeh

Pendahuluan

Segmen telefon bajet memang sedia maklum didominasi oleh produk Xioami. Telefon terbaru yang dilancarkan mereka adalah Redmi 5 untuk menggantikan Redmi 4 yang diperkenalkan sekitar Julai 2017. Seunit Redmi 5 versi RAM 3GB dan storan 32GB singgah ke meja editor untuk dipandu uji. Bagaimanakah prestasinya? Teruskan membaca.

Fizikaliti

Untuk sebuah telefon bajet, Redmi 5 cukup sifatnya. Ia adalah sebuah telefon 5.7” yang menggayakan paparan memanjang 18:9 pada bahagian muka. Lebih menarik, siri ini adalah yang pertama diberikan skrin bernisbah paparan sebegini.

Panel ini dilingkungi bingkai putih yang nipis pada kedua-dua sisi tetapi memberikan bahagian dahi dan dagu yang luas. Bahagian dahi menempatkan komponen seperti kamera, flash, speaker telefun dan sensor proksimiti.

Audio jack diletakkan pada bahagian atas telefon bersama-sama pemancar inframerah manakala port mikro-USB boleh ditemui pada bahagian bawah, diapit oleh jeriji speaker. Tapi hanya sebelah saja yang menempatkan komponen speaker manakala yang satu lagi hanya suntikan estetika.

Butang kawalan bunyi dan kuasa boleh diakses di bahagian kanan telefon manakala anda meletakkan kad SIM dan mikro-SD di slot pada bahagian kiri telefon.

Konfigurasi ekakamera belakang digunakan pada Redmi 5. Sedikit bonjolan kamera boleh ditemui pada komponen itu. Pengimbas cap jari diletakkan sebaris dengan kamera dan disusun rapi pada bahagian tengah atas telefon.

Daripada segi kualiti binaan, ia berasa teguh apabila berada dalam tangan. Badannya diperbuat daripada besi dan kemasan sisi tumpul mengelilingi badan telefon memberikan tahap ergonomik yang tinggi semasa digenggam.

Tidak seperti telefon lain, sungguhpun tiada casing dikenakan sepanjang reviu ini, saya selesa memegangnya tanpa berasa ia akan menggelungsur jatuh daripada tangan.