Xpax mahu lancar pascabayar dengan YouTube tanpa had

Tidaklah dapat difahami kenapa, tetapi itulah yang bakal terjadi. Xpax yang merupakan jenama prabayar di bawah Celcom, bakal melancarkan pelan pascabayarnya tersendiri. Pelan pascabayar ini akan dilancarkan bersama pelan prabayar baru Xpax.

Dari maklumat yang diterima, pelan pascabayar ini mensasarkan kepada golongan belia di bawah 25 tahun, seperti tawaran Kaw Kaw Squad. Tetapi pelan pascabayar ini memerlukan komitmen yang tinggi.

Terdapat dua pelan pascabayar Xpax iaitu XP50 dan XP79. Bagi pelan XP50 dengan caj RM50 sebulan, pengguna akan menerima 15GB data, panggilan tanpa had ke 5 nombor Celcom, YouTube berkelajuan tinggi waktu burung hantu (1am-7am), Music Walla tanpa had dan akses premium iflix.

Pelan XP79 dengan caj RM79 sebulan pula, memberikan 22.5GB data, serta semua tawaran yang sama seperti di pelan XP50 di atas. Tetapi ia ditambah dengan 15GB data untuk Video Walla.

Kadar panggilan untuk kedua-dua pelan ini ialah 30 sen seminit, manakala SMS pula 15sen setiap satu. Satu lagi promosi tambahan untuk pelan pascabayar ini, percuma 100GB Super Video Walla semasa bulan hari jadi.

Satu alasan yang mungkin tentang pengenalan pelan pascabayar Xpax ini, adalah tawaran pembelian peranti, seperti yang terdapat di gambar di bawah. Dengan kontrak selama 24 bulan, pengguna boleh membeli peranti baru dengan harga lebih murah. Cuma, mengapa data yang diberikan kurang dari pelan tanpa peranti?

Apabila difikirkan semula, dengan RM79 sebulan pengguna boleh melanggan pelan pascabayar Celcom FIRST Gold yang bernilai RM80 sebulan. Ia datang dengan 10GB data sepanjang masa + 10GB data lagi hujung minggu, serta panggilan tanpa had ke semua rangkaian. Malah, ia ditambah lagi dengan 30GB Video Walla.

Adakah pelan pascabayar Xpax ini benar-benar pelan yang diperlukan. XACTLY? Jika diberi pilihan, yang mana satu pilihan anda? XP79 atau FIRST Gold RM80?

Pelan pascabayar Xpax ini dijangka akan dilancarkan minggu hadapan. Tetapi ia telah pun tersenarai di Stor Online Celcom,masing-masing di laman Xpax Postpaid XP50 dan Xpax Postpaid XP79.

[Sumber: Amanz]