Huawei P20 dilancarkandi Perancis dan mula dijual di Malaysia pada 6 April yang lalu. Ia adalah telefon siri P generasi ketiga yang mendukung cap LEICA pada badannya.
Sebanyak dua model Huawei P20 dilancarkan dengan varian yang paling tinggi mempunyai perkataan “Pro” padanya. Untuk P20 Pro, penggunannya menikmati trikamera belakang dengan salah satu daripadanya mempunyai sensor 40MP.
Tapi kamera itu tidak hadir pada Huawei P20 tapi ia tidak bermakna dwikamera belakang telefon ini tidak mampu membuahkan hasil yang cemerlang. Mari baca pengalaman kami memandu uji Huawei P20.
Reka Bentuk
Pastinya kita maklum yang Huawei P20 adalah versi mampu milik kepada Huawei P20 Pro. Persoalannya adalah adakah ia sebaik versi Pro-nya? Daripada sudut luaran, binaannya saling tak tumpah berbanding model yang lebih mahal.
Pada atas paparan, seperti biasa, anda mendapati kehadiran notch yang sedikit besar berbanding P20 Pro. Padanya diletakkan speaker telefon, kamera depan dan sejumlah sensor.
Telefon ini dicas menggunakan port USB-C dibawah dagu. Meneminya adalah jeriji speaker. Tiada port audio disertakan bersama sebaliknya penyesuai USB-C ke audio jack perlu digunakan bersama.
Pengimbas cap jari juga dikekalkan di bahagian depan dan menjadikan telefon ini agak panjang. Pada bahagian muka, anda dihidangkan dengan paparan QHD sebesar 5.99″.
Bahagian belakangnya masih menggunakan materi kaca sebagai penyudah dan seperti biasa, magnet kepada cap jari. Amat sukar untuk mengekalkannya bersih jika tidak menggunakan sebarang casing.
Selain materi kaca, beberapa aspek yang diwarisi daripada Huawei P20 Pro adalah seperti kedudukan kamera belakang serta cap LEICA yang dibawanya bersama untuk menunjukkan kekuasaan kameranya.
Halaman Seterusnya: Prestasi Kamera
[nextpage title=”Prestasi Kamera”]
Huawei sejak siri P9 memang dipasarkan sebagai kamera telefon berkuasa tinggi. Kehadiran cap LEICA sudah cukup menunjukkan komitmen Huawei dalam membawa industri pengimejan telefon pintar ke satu tahap yang lebih tinggi.
Untuk reviu kali ini, saya bawakan seksyen kamera kehadapan terus tanpa melengahkan masa.
Pada bahagian pengimejan, anda akan menemui sepasang kamera belakang dengan spesifikasi seperti berikut:
- Kamera 1 – 12MP RGB
- Kamera 2 – 20MP monokrom
Bergandingan bersama apertur yang luas dengan saiz piksel sebesar 1.55 mikrometer, Huawei memaklumkan yang ia mampu menangkap lebih banyak foton untuk menghasilkan imej yang lebih baik.
Untuk berswafoto, Huawei menyediakan sebuah kamera dengan sensor 24MP.
Ini adalah beberapa sampel gambar daripada lensa Huawei P20 untuk anda nilai.
Mode portret yang bijak asingkan subjek daripada latar
Kamera swafoto dengan sudut pandang luas muatkan lebih banyak subjek
Dengan bantuan AI, warna tona kulit dikekalkan tetapi warna latar dipekatkan
Warna kuning dan biru dipekatkan terlalu banyak hingga hilang ruang suntingan manual semasa post-processing
Master AI mengenalpasti langit dan meningkatkan warna biru
Dalam pencahayaan yang cukup, kamera ini mampu memegunkan aksi seperti burung ini
Terdapat proses penajaman (sharpening) oleh AI terutama pada bahagian kulit tempat berlaku caramelization
Mode HDR mampu menyeimbangkan bahagian bebayang dengan highlight
Subjek (orang) sedang memancing tidak dibayangi langit yang terlalu cerah dengan bantuan mode HDR
3X zoom yang masih boleh diterima kualitinya
Ketajaman silhouette burung menunjukkan keupayaan sensor monokrom merakam data cahaya dengan baik
Dalam keadaan ini, Master AI terpaksa dimatikan jika tak mahu mata tertusuk warna
Sensor monokrom beroperasi dengan jayanya merekodkan data bebayang terutamanya pada langit
Night Mode tanpa menggunakan tripod
Sampel kedua tanpa menggunakan tripod
Sampel ketiga tanpa menggunakan tripod
Pengalaman menggunakan kamera pada Huawei adalah antara yang terbaik dalam ekosistem Android. Jika anda menggunakan telefon Huawei ataupun honor, anda pastinya berpuas hati dengan pengalakamn kamera yang diberikan kedua-dua jenama ini.
Salah satu ciri yang menarik pada telefon ini adalah kehadiran Master AI. Apabila fungsi ini diaktifkan, kecerdasan buatan akan mengambil alih tetapan telefon dan mencadangkan kepada anda tetapan apa yang sesuai untuk senario yang ingin anda rakam.
Ia bijak mengenal pasti latar belakang langit dan menjadikan langit lebih biru. Rumput turut menerima rawatan yang sama apabila kepekatan warna dinaikkan beberapa tahap. Saya dapati yang Master AI adalah pisau bermata dua. Oleh sebab suntingan dilakukan oleh AI, hasil gambar daripadanya memiliki amat sedikit ruang untuk bermain daripada segi suntingan.
Jurugambar yang lebih berpengalaman gemar mengambil gambar dengan warna yang agak mendatar (flat) dan fokus lebih ditumpukan pada exposure dan juga komposisi. Warna disunting semasa post-processing dan lebih ruang bermain diperoleh.
Ada kalanya anda mahukan gambar hitam putih, ada kalanya gambar berwarna pekat. Semuanya boleh dicapai daripada gambar yang sama, tetapi keupayaan itu hilang sejurus Master AI mengambil alih.
Antara muka APP kamera pada sistem operasi EMUI pada pendapat saya memang intuitif. Perkara yang mungkin anda tak perasan tapi menyumbang pada pengalaman itu adalah seperti penggunaan font yang mudah dibaca serta susun atur tetapan kamera yang mudah diakses, seperti yang ada pada legenda Nokia Lumia.
Sekiranya anda seorang jurugambar yang menjadikan telefon sebagai kamera sekunder, telefon ini amat responsif dan mengambil masa yang amat singkat untuk mula beraksi sejurus keluar poket.
Sejumlah helah-helah menarik diberikan pada telefon ini. Yang paling menarik adalah keupayaan untuk merakam video 960 fps. Ia adalah sesuatu yang wow sehinggalah keujaannya hilang. Pada resolusi 720p sahaja, tidak banyak perkara kreatif yang boleh diekstrak kecuali berkongsi di laman Instagram.
Melihat klip super slow-mo di skrin yang lebih besar ternyata menyakitkan mata dek pixelation yang terlalu ketara.
Tapi itu bukanlah perkara yang membuatkan anda terus membenci kamera pada telefon ini. Ia di-offset-kan dengan beberapa mode tangkapan yang lain.
Antara yang saya minat adalah Night Shot dan Light Painting. Kedua-duanya adalah mode khas untuk kegunaan dalam keadaan malap. Tetapi ia bukanlah mode biasa-biasa. Night Shot mampu merakam gambar dedahan seperti 4 saat walaupun anda tak menggunakan tripod.
Saya pasti telefon ini menggunakan AI untuk menyelarikan setiap foton-foton yang jatuh pada sensor supaya gambar yang terhasil tidak kabur.
Kesimpulannya, kamera pada Huawei P20 berada di paling atas dalam kelasnya baik pada spesifikasi teknikal mahupun perisian yang hadir bersamanya.
Halaman Seterusnya: Pengalaman Guna & Kesimpulan
[nextpage title=”Pengalaman Guna & Kesimpulan”]
Telefon yang memiliki spesifikasi flagship sudah tentu anda mengharapkan pengalaman mengguna seperti flagship. Spesifikasi sebuah Huawei P20 adalah seperti berikut:
Spesifikasi Huawei P20
Tiada isu negatif yang ingin saya laporkan di sini, semuanya berfungsi seperti yang diiklankan. Cumanya, sistem operasi EMUI yang dijalankannya seperti telalu jack-of-all-trades dan tidak kukuh identiti.
Misalnya, bahagian notch boleh disembunyikan daripada pandangan sedangkan pada iPhone X, Apple bersikap lebih tegas pada penggunanya.
Jika notch disembunyikan, penggunaan panel paparan menjadi tidak sekata dan apabila penyakit burn-in berlaku, pastinya bahagian notch itu akan ketara.
Kemudian ikon-ikonnyua amat mirip iOS. Lihat sajalah pada ikon Setting dan Music. Mungkin mereka menumpukan bajet R&D kepada komponen keras berbanding perisian.
Namun begitu, selain estetika, EMUI berfungsi lancar tanpa sebarang masalah.
Daripada segi hayat bateri, tiada yang menonjol tentang telefon ini. Saya beroleh sekitar 4-5 jam waktu SOT untuk kegunaan kasual dan ia bertahan seharian. Sepanjang hari tersebut, APP asas digunakan seperti medsos, navigasi, stream, dan sedikit permainan.
Yang baiknya tentang baterinya adalah kehadiran pengecasan pantas. Kurang daripada 80 minit, ia sudahpun boleh diisi penuh daripada bateri hampir sifar. Ia adalah sesuatu yang baik kerana telefon tidak perlu tertambat sepanjang masa di dinding.
Berdasarkan graf mengecas diatas, beberapa pemerhatian boleh dirimuskan iaitu:
- 30 minit mengisi sebanyak 63% bateri
- 50% bateri diisi dalam masa 23 minit
- 100% bateri dicapai dalam masa 70 minit
Walau bagaimanapun, hanya blok pengecas dan kabel yang dibekalkan sahaja boleh mengaktifkan teknologi Huawei SuperCharge. Oleh sebab itu, anda perlu menjaganya sebaik mungkin jika tidak mahu membelinya pada harga yang agak tinggi.
Jika anda berminat untuk mengetahui keputusan penanda aras sintetik telefon ini, anda boleh rujuknya dalam rajah dibawah.
Antutu Benchmark
Geekbench
Kesimpulan
Huawei P20 adalah sebuah telefon berprestasi cemerlang. Baik daripada spesifikasi dan sistem operasi, ia memiliki hampir segala-galanya yang perlu ada pada sebuah telefon yang ideal. Ya, ia tiada ciri kekalisan air tapi ia bukanlah isu bagi saya kerana belum pernah ada telefon saya yang rosak dek dimasuki air.
Yang paling menonjol adalah pengalaman kameranya yang unik berbanding jenama lain. Jika anda seorang jurugambar biarpun amatur, anda pastinya menyukai kamera pada telefon ini.
Hayat bateri biasa-biasa dan kehadiran pengecasan pantas adalah sangat dialu-alukan untuk mengurangkan waktu mengecas.
Harga sebuah Huawei P20 adalah RM2,599. Antara telefon yang memiliki spesifiki setara dengannya yang boleh dibeli di Malaysia adalah seperti
- honor View 10 – RM1,899
- OnePlus 5T – RM2,449
- Huawei P20 – RM2,599
- Xperia XZ2 Compact – RM2,899
- HTC U11+ – RM3,099
- Samsung Galaxy S9 – RM3,299
Dalam kalangan peranti flagship, ia adalah dalam kategori murah, tapi agak sukar untuk mempercayai yang flagship kini dipasarkan pada paras harga purata RM2,500.
Dapatkan sebuah Huawei P20 melalui laman dalam talian:
Tapi jika anda tidak mahu berbelanja besar, honor View 10 memiliki spesifikasi paling setara dengan dan hampir 27% lebih murah. Maka, sekiranya jenama bukanlah kriteria penting buat anda, honor View 10 adalah jawapannya.