TM akhirnya mendedahkan harga pas Piala Dunia FIFA 2026 untuk pelanggan Unifi TV. Seperti yang ramai sudah tahu, Unifi TV adalah salah satu penyiar rasmi Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia, bersama RTM.
Yang menarik, TM tidak menggunakan peluang ini untuk menggabungkan siaran Piala Dunia dengan mana-mana pakej Unifi TV sedia ada termasuk Pakej Sukan mereka. Sebaliknya, siaran FIFA World Cup 2026 ditawarkan sebagai pas berasingan yang perlu dibeli secara berasingan.

Unifi TV akan menyiarkan kesemua 104 perlawanan secara langsung dalam kualiti HD, melalui 3 saluran khas yang disediakan khusus untuk kejohanan ini.
Unifi TV kini boleh diakses melalui pelayar web, kotak Unifi TV, serta aplikasi Unifi TV 2.0 untuk telefon pintar, tablet, dan kotak set-top berasaskan Android TV. Aplikasi ini juga tersedia pada beberapa platform televisyen pintar termasuk Android TV, Samsung Tizen dan LG WebOS.
Harga Pas Piala Dunia FIFA 2026 Unifi TV

Berikut adalah harga untuk menonton FIFA World Cup 2026 melalui Unifi TV:
- Pas Harian – RM20 sehari
- Pas Musim – RM50 untuk pelanggan Unifi TV / RM60 untuk bukan pelanggan Unifi TV
Pembelian boleh dibuat melalui laman web rasmi Unifi TV, aplikasi MyUnifi, aplikasi Unifi TV 2.0, dan portal Unifi Selfcare. Buat masa ini, hanya Pas Musim sahaja yang tersedia untuk dibeli. Pas Harian pula baru akan dijual bermula 12 Jun.
Pas Harian Pas Piala Dunia 2026: Apa yang anda dapat?

Seperti namanya, Pas Harian memberikan akses selama satu hari kepada saluran khas Piala Dunia FIFA 2026 di Unifi TV, termasuk tayangan semula dan sorotan perlawanan. Akses akan diaktifkan bermula jam 11 malam sehari sebelum tarikh yang dipilih dan berakhir pada jam 11.59 malam pada hari tersebut.
Sebagai contoh, kalau anda ingin menonton perlawanan Kumpulan A antara Korea Selatan dan Czechia pada 12 Jun jam 10 pagi, anda boleh membeli Pas Harian untuk tarikh 12 Jun.
Sebaik sahaja pas diaktifkan, anda akan mendapat akses kepada ketiga-tiga saluran khas Piala Dunia FIFA 2026 bermula jam 11 malam pada 11 Jun. Akses tersebut akan tamat pada jam 11.59 malam, 12 Jun. Ini bermakna anda juga boleh menonton perlawanan Kumpulan A antara Mexico dan Afrika Selatan yang berlangsung pada jam 3 pagi, 12 Jun dalam tempoh akses yang sama.
Selain saluran khas Piala Dunia, pemegang Pas Harian juga mendapat akses kepada 16 saluran percuma Unifi TV, iaitu TV1, TV2, TV3, 8TV, TV9, TVS, Didik TV KPM, TV AlHijrah HD, Parlimen Malaysia, Bernama TV, Salam HD, ABC Australia HD, CNA HD, DW HD, Euronews dan NHK World-Japan HD.
Lebih menarik, akses kepada 16 saluran percuma ini akan kekal walaupun selepas pas tamat dan selepas musim Piala Dunia 2026 berakhir.
Pas Musim Pas Piala Dunia 2026: Akses penuh semua perlawanan dan saluran premium Unifi TV

Bagi mereka yang mahu mengikuti keseluruhan kejohanan, Unifi TV turut menawarkan Pas Musim yang menyediakan akses kepada semua perlawanan secara langsung, tayangan semula serta sorotan sepanjang berlangsungnya Piala Dunia FIFA 2026. Malah, pemegang Pas Musim boleh terus mendapat akses kepada kandungan Piala Dunia sehingga 31 Julai, iaitu 11 hari selepas kejohanan berakhir.
Sebagai tambahan, pemegang Pas Musim turut mendapat akses kepada semua saluran Unifi TV dari 11 Jun hingga 10 Julai, termasuk saluran premium seperti HBO, Cinemax, tvN Movies dan beIN Sports, serta kandungan atas permintaan melalui bahagian Catch Up Unifi TV.
Selepas 10 Julai, pelanggan Pas Musim masih boleh menikmati akses kepada 16 saluran percuma yang ditawarkan oleh Unifi TV.






