GST 0% di Malaysia bermula 1 Jun 2018

Janji Pakatan Harapan untuk menghapuskan Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) nampaknya tiba di langkah pertama, apabila Kementerian Kewangan hari ini memaklumkan GST akan ditetapkan pada kadar sifar atau 0% bermula 1 Jun 2018. Kadar sifar ini terpakai di seluruh negara sehingga dimaklumkan kelak.

Dalam siaran media tersebut turut menyatakan, barang dan perkhidmatan yang disenaraikan di Perintah Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pembekalan Dikecualikan) 2014 akan kekal dikecualikan dari GST. Bermakna, mana-mana yang dikecualikan dari GST, akan kekal tidak dikenakan GST. Contohnya seperti tambah nilai prabayar.

SIARAN MEDIA : PENGENAAN CUKAI BARANG DAN PERKHIDMATAN (GST) PADA KADAR SIFAR.

Posted by Kementerian Kewangan Malaysia on Wednesday, 16 May 2018

Walaupun semua peniaga yang berdaftar harus mematuhi peraturan baru GST berkadar sifar ini, semua peraturan semasa seperti pengeluaran inbois cukai, penghantaran penyata cukai dan tuntutan kredit cukai input perlu dibuat seperti biasa.

Dari pengumuman ini, kita boleh menjangkakan harga barangan dan perkhidmatan yang dikenakan GST 6%, akan berkurangan. Contohnya untuk telefon pintar seperti Huawei P20 Pro berharga RM3,299 termasuk GST, akan dijual pada harga RM3,299-6% = RM3,101,06. Manakala makan Nasi Mcd Set C yang berharga RM14.95 sekarang, akan menjadi RM14.05 pada 1 Jun nanti.

Perkara ini jika dilihat sepintas lalu memang sangat menggembirakan. Tetapi kerajaan masih perlu mengutip cukai. Jadi mungkin cukai baru akan diperkenalkan sebelum 1 Jun nanti. Samada harga barangan akan turun atau naik nanti, perlu tunggu pengumuman selanjutnya.

Adakah lebih baik untuk menangguhkan pembelian dan menunggu harga barang turun pada 1 Jun? Masih tidak dapat dipastikan kerana cukai yang dihapuskan perlu diganti dengan sejenis cukai lain, agar kerajaan dapat terus menjana pendapatan.

Apa pula pendapat anda? Mahu tunggu atau ada cadangan percukaian yang lebih sesuai?

[Sumber: Kementerian Kewangan]