honor 10 telefon flagship paling murah dijual di Malaysia

Telefon pintar kelas flagship paling murah di Malaysia sekarang. Memang tidak salah untuk kami katakan tentang telefon pintar honor 10 yang baru dilancarkan hari ini. Tak percaya? Cuba baca alasan yang kami berikan di bawah ini, kemudian berikan pula komen anda.

honor 10 boleh dikatakan klon kepada Huawei P20, mengikut tradisi yang dituruti honor setiap kali siri-P Huawei dilancarkan. Tetapi disebabkan satu perbezaan yang amat ketara, menjadikan honor 10 ibarat mahu membunuh sendiri abang kandungnya, Huawei P20.

Mari kita lihat persamannya dahulu. honor 10 memiliki kuasa pemproses Kirin 970 dengan pemproses NPU tersendiri untuk menggerakkan pelbagai keperluan AI. RAM juga sama banyak, iaitu 4GB. Malah storan dalamannya sama besar, iaitu 128GB yang tidak boleh diperluas kerana tiada slot mikroSD.

Rupa luaran juga banyak persamaan, seperti skrin FullView bertakuk di dahi, seluas 5.84-inci, resolusi FHD+ dengan nisbah 19:9. Bateri sebesar 3,400mAh yang dicas melalui USB-C dan menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge menambah lagi senarai persamaannya.

Jika mahu dikatakan kelebihan honor 10, ia masih memiliki port audio 3.5mm dan juga pemancar infra merah (IR Blaster). Kekurangan ketara yang dikongsi bersama, ialah tidak kalis air dan debu.

Mungkin bahagian kamera adalah perbezaan terbesar, kerana honor 10 tidak memiliki cap Leica. Kamera belakang honor 10 menggunakan dwi-sensor 24MP F1.8 + 16MP F1.8, berbeza dengan Huawei P20 iaitu 20MP F1.6 monokrom + 12MP F1.8 RGB. Tetapi kamera hadapannya sama, 24MP F2.0.

Setelah melihat persamaan dan kelebihan honor 10, berapa pula harganya? Huawei P20 dijual di Malaysia pada harga RM2,599. Tetapi honor 10 diumumkan harganya tadi, hanyalah RM1,699 sahaja termasuk GST 6%. Hampir RM1,000 beza. Ia akan mula dijual pada hari Jumaat ini, 24 Mei 2018 tanpa perlu tempahan awal.

Untuk menarik minat orang ramai yang mungkin mahu menunggu kadar GST 0% pada 1 Jun, honor Malaysia memberi rebat RM100 untuk pembelian dari 24 hingga 31 Mei 2018. Bermakna, harga jualan sebenarnya hanyalah RM1,599. Bukan itu sahaja, honor menambah lagi hadiah percuma berupa Flip Cover untuk pembelian pada seminggu ini. Kami dimaklumkan, harga jualan honor 10 selepas 1 Jun pasti lebih rendah dari RM1,699.

Tapi ada lagi promosi khas untuk honor 10. Dengan kerjasama Shopee, pada 24 Mei bermula jam 9 pagi, honor 10 akan dijual pada harga RM1,599 dan diberikan hadiah percuma flip cover serta fon kepala Bluetooth. Tawaran ini terdapat di Shopee dan Hihonor.com/my.

Untuk peringkat awal ini, hanya terdapat 3 warna honor 10 yang voleh dibeli iaitu Midnight Black, Glacier Grey dan Phantom Blue dengan warna yang berubah-ubah. Satu lagi warna Phantom Green tidak pula dinyatakan akan dijual di Malaysia.

Jadi, dapatkah anda rasakan betapa murahnya honor 10 yang memiliki banyak persamaan dengan Huawei P20, tetapi dijual RM1,000 lebih murah? Tiada telefon pintar lain pada harga yang sama mampu menyaingi kehebatan honor 10 ini. Jika bajet anda sekitar RM1,500, kami amat mengesyorkan anda untuk mendapatkan honor 10 ini.

honor 10 akan mula dijual di Malaysia pada Jumaat ini, 24 Mei 2018 dengan harga promosi RM1,599, serta hadiah percuma Flip Cover dan untuk yang pantas, boleh mendapatkan juga fon kepala Bluetooth percuma. Jangan terlepas semua promosi hebat dan eksklusif honor 10 ini.