Redmi S2 dan Mi MIX 2s dijual sebelum Hari Raya dengan GST 0%

Selepas berteka-teki, akhirnya Xiaomi hari ini mengumumkan penjualan Mi MIX 2S di Malaysia, bersama ketibaan Redmi S2. Kedua-dua telefon pintar baru Xiaomi ini akan dijual secara rasmi di Malaysia bermula dari 1 Jun 2018. Dengan GST 0%.

Terdapat dua jenis Mi MIX 2S yang akan dijual di Malaysia, dengan dua warna iaitu Hitam dan Putih. Sama juga untuk Redmi S2, ia akan dijual dalam dua jenis dengan warna Kelabu, Emas dan Emas Ros.

Senarai harganya adalah seperti berikut:

  • Mi MIX 2s (6GB RAM + 64GB Storan) – RM1,999
  • Mi MIX 2s (6GB RAM + 128GB Storan) – RM2,199
  • Redmi S2 (3GB RAM + 32GB storan) – RM679
  • Redmi S2 (4GB RAM + 64GB storan) – RM849

Mi MIX 2s Hitam dan Putih

Untuk jualan bermula 1 Jun nanti, hanya Mi MIX 2s berwarna Hitam tersedia untuk dijual. Bagi Redmi S2 pula, hanya jenis 3GB RAM dan 32GB storan, dalam warna Kelabu dan Emas mula dijual pada 1 Jun. Model lain akan dijual di kemudian hari.

Mi MIX 2s adalah naiktaraf telefon nirbingkai Xiaomi dari Mi MIX 2. Ia kini dilengkapi pemproses Snapdragon 845, beserta 6GB RAM. Kamera belakangnya dua lensa 12MP bersama OIS, manakala kamera depan 5MP yang terletak di bawak skrin.

Skrin Mi MIX 2s dengan nisbah 18:9 memiliki keluasan 5.99-inci FHD+ 2160×1080. Tiada takuk di dahi. Ia juga tiada port audio 3.5mm tetapi kini menyokong pengecasan wayarles, selain pengecasan wayar melalui USB-C untuk mengisi bateri berkapasiti 3,400mAh.

Redmi S2 Emas Ros, Emas dan Hitam

Redmi S2 pula adalah telefon pintar yang amat mirip Redmi 5 Plus, tetapi dengan skrin dan bateri dikurangkan, tetapi kamera dipertingkat. Telefon ini dikuasakan cip Snapdragon 625, RAM antara 3GB dan 4GB serta storan antara 32GB dan 64GB.

Skrinnya lebar 18:9 berukuran 5.99-inci tetapi resolusi hanya HD+ 1440×720. Bateri pula 3,080mAh dan dicas melalaui mikroUSB. Satu yang menarik pada Redmi S2 ialah tiga slot kad padanya, membolehkan penggunaan serentak dua kad sim dan kad mikroSD.

Untuk kamera, ia dipasang lensa 16MP di depan, dengan saiz piksel 2-mikron untuk gambar lebih cerah. LED Flash turut terdapat di kamera depan. Di belakang pula, ia gabungan dua lensa iaitu 12MP F2.2 dan lensa 5MP untuk efek bokeh.

Harga Redmi S2 nampaknya lebih mahal dari Redmi 5 Plus. Redmi S2 boleh menjadi pilihan untuk mereka yang mahu kamera lebih baik, dan tidak kisah bateri lebih kecil dan resolusi skrin lebih rendah.

Nantikan 1 Jun ini untuk mula mendapatkan Mi MIX 2s serta Redmi S2 dari penjual sah Xiaomi seperti di Stor Rasmi Lazada, serta Stor Fizikal Xiaomi di seluruh Malaysia.