Dua lagi telefon mampu milik honor akan dilancar di Malaysia

Shopee dan honor akan mengadakan satu majlis esok, di mana mereka dijangka akan mengumumkan promosi besar-besaran produk honor di Shopee. Dalam majlis yang sama, honor turut menyatakan akan melancarkan dua model baru telefon pintar honor.

Baru sahaja beberapa minggu lepas, honor telah melancarkan honor 7A dan honor 7C di India. Kedua-duanya adalah telefon pintar kelas permulaan berharga mampu dimiliki, dilengkapi skrin FullView, pengimbas capjari di belakang serta Face Unlock.

honor 7A adalah model terbaru kelas permulaan, menampilkan skrin FullView 5.7-inci HD+ dalam nisbah 18:9. Ia digerakkan pemproses Snapdragon 430 bersama 3GB RAM dan 32GB Storan dalaman. Kad mikroSD disokong sehingga saiz 256GB.

Walaupun dalam kelas bajet, ia dilengkapi dwi-lensa kamera belakang gabungan 13MP+2MP. Kamera hadapan pula 8MP. Selain pengimbas capjari, telefon ini turut menyokong pengecaman wajah, Face Unlock.

honor 7A menyokong dua kad sim dengan slot kad mikroSD berasingan. Ia menjalankan sistem operasi Android 8.0 Oreo bersama antaramuka EMUI 8.0, dan memiliki bateri berkapasiti 3,000mAh.

honor 7C pula memiliki badan lebih besar untuk memuatkan skrin 5.99-inci HD+ dalam nisbah 18:9. Kuasanya lebih tinggi dengan penggunaan cip Snapdragon 450, bersama 3GB RAM dan 32GB storan dalaman.

Lain-lain perkara di honor 7C adalah sama dengan honor 7A, seperti dwi kamera belakang 13MP+2MP, kamera hadapan 8MP, pengimbas capjari di belakang, pengecaman wajah Face Unlock, menjalankan Android 8.0 Oreo bersama EMUI 8.0 serta bateri 3,000mAh.

Di majlis pelancaran di India, honor 7A diumumkan berharga INR8,999 (~RM532), manakala honor 7C pula berharga INR9,999 (~RM592).

Dengan tambahan dua model ini, ia menjadikan jumlah telefon honor di bawah RM1,000 kepada 4 model, di samping honor 7X yang berharga RM849 dan honor 9 Lite yang kini berharga RM659.

BACA  Panasonic LUMIX Cipta Sejarah, Langkah Masuk Ke Gelanggang Full Frame

Nantikan pengumuman rasminya esok di mana kami akan turut hadir di majlis tersebut.