Instagram Lite lebih jimat data dan ruang storan peranti

Walaupun storan di telefon pintar semakin membesar, sebarang penjimatan ruang masih amat dialu-alukan. Apatah lagi apabila Google memperkenalkan Android Go dan aplikasi yang lebih ringan dan mesra ruang storan.

Facebook turut sama menyertai gerakan ini dengan melancarkan Facebook Lite dan Messenger Lite, dan kini dalam diam-diam mereka menghasilkan Instagram Lite.

Instagram Lite dilihat telah disenaraikan di dalam Google Playstore. Saiz failnya hanyalah 573kb untuk dimuat turun, berbanding Instagram biasa yang bersaiz 32MB.

Seperti aplikasi Lite dan Go yang lain, Instagram Lite adalah penyelesaian untuk telefon pintar lama atau telefon pintar dengan spesifikasi rendah. Selain itu, ia juga menjimatkan penggunaan data internet.

Sebagai aplikasi yang lebih kecil, sudah pasti terdapat fungsi yang dikorbankan. Pengguna Instagram Lite masih dihidangkan dengan feed gambar yang sama, juga fungsi Stories, Explore dan carian. Tetapi fungsi perkongsian video dan Direct Message tidak terdapat di dalam Instagram Lite.

Bagaimanapun, buat masa ini Instagram Lite masih tidak boleh digunakan oleh pengguna di Malaysia. Instagram menyatakan aplikasi ini sedang diuji untuk pengguna di Mexico, dan akan dibuka ke negara lain secara berperingkat. Mereka juga berkata, Instagram sedang menguji aplikasi Instagram biasa yang menggunakan kurang storan, kurang data dan lebih pantas dilancarkan.

Adakah telefon pintar anda kekurangan storan atau anda memerlukan aplikasi yang ringan untuk digunakan? Selain Instagram Lite ini, semak artikel kami tentang 5 Aplikasi Terbaik Untuk Jimat Data Dan Storan Di Telefon Android.

[Sumber: TechCrunch]

BACA  Kemas Kini Nova 3i Yang Seterusnya Bakal Jadikan Kameranya Sekuasa Mate 20