BlackBerry Key2 kunjungi pasaran Malaysia minggu depan

Pengeluar telefon pintar paling selamat di dunia, BlackBerry dilaporkan akan melancarkan telefon pintar baru mereka, Blackberry Key2 ke Malaysia tidak lama lagi. Ini berikutan jemputan ke majlis pelancaran yang telah diedarkan kepada media.

Majlis pelancaran tersebut akan diadakan pada hari Selasa, 10 Julai 2018. Sudah pasti tarikh jualan dan harga jualannya di Malaysia akan diketahui di majlis pelancaran itu.

BlackBerry Key2 masih mengekalkan ciri ikonik peranti BlackBery, iaitu papan kekunci fizikal. Sekali imbas, ia nampak sama seperti BlackBerry KeyONE. Tetapi banyak pembaharuan yang dibuat pada BlackBerry Key2 ini.

Papan kekunci fizikalnya masih serupa, boleh digunakan sebagai trackpad. Tetapi kekuncinya kini 20% lebih tinggi dan menggunakan kemasan matte yang lebih selesa semasa menaip. Pengimbas capjari juga masih terbina di dalam kekunci Space.

Terdapat satu kekunci baru pada Key2 yang dipanggil Speed Key. Ia membolehkan pengguna melancarkan aplikasi atau arahan dengan pantas tanpa perlu pergi ke Home. Setiap kekunci boleh didaftarkan dengan satu arahan, pastinya cukup untuk semua keperluan anda. Cuma kena ingat kunci apa mewakili yang mana.

Skrin Key2 juga tidak berbeza. Paparan IPS yang berukuran 4.5-inci, dalam nisbah 3:2 serta resolusi HD Penuh 1620×1080. Bateri juga sama besar, 3,500mAh dan dicas melalui port USB-C dan menyokong pengecasan pantas QuickCharge 3.0. Ia juga dikatakan mampu bertahan sehingga 2 hari, sama seperti KeyONE. Berita baik, Key2 masih memiliki port audio 3.5mm.

Rupa belakang Key2 juga hampir sama. Tetapi perbezaan ketara dapat dilihat pada lensa kamera. Key2 kali ini memiliki dwi-lensa kamera belakang, gandingan sensor 12MP F1.8 + 12MP F2.6 yang bertindak seperti zum. Bagi kamera hadapan, ia menggunakan sensor 8MP.

BACA  Astro Merdekakan Semua Channelnya Untuk Tontonan Anda

Kuasa dalaman Key2 dipertingkatkan dengan penggunaan cip pemproses Snapodragon 660 8-teras, bersama RAM lebih besar 6GB dan storan dalaman 64GB atau 128GB. Storan ini boleh diperluas menggunakan kad mikroSD sehingga 256GB.

Sistem operasi Key2 masih menggunakan Android, kini dengan OS terkini 8.1 Oreo. BlackBery memastikan kawalan keselamatan tertinggi di dalam peranti dengan bantuan aplikasi DTEK, Locker Private Zon dan pelayar Firefox Focus.

Sewaktu pelancarannya di Amerika Syarikat, BlackBery Key2 diumumkan berharga USD649 (~RM2,629) untuk storan 64GB. Blackberry KeyONE semasa pelancarannya di Malaysia, berharga RM2,688 termasuk 6% GST. Key2 datang dalam dua warna, perak dan hitam.

Adakah masih terdapat pengguna yang mahu menggunakan telefon pintar dengan papan kekunci fizikal di Malaysia ini? Sesuaikah tanda harga sekitar RM2,600 untuk Key2 ini. Kita tunggu majlis pelancarannya pada hari Selasa depan.

Seperkara lagi, harapnya model dua sim yang akan tiba di Malaysia. Jangan seperti iPhone, hanya menyokong satu sim sahaja ya.