Surface Go peranti kecil dan murah dari Microsoft tetapi masih bukan saingan iPad

Keluarga peranti Surface dari Microsoft, kini ditambah ahli baru yang paling kecil dan kerdil, Surface Go. Ia dikatakan memiliki fungsi yang sama dengan Surface Pro dalam badan yang lebih kecil dan ringan.

Ia dimulakan dengan paparan PixelSense yang lebih kecil, berukuran 10-inci dengan resolusi 1800×1200, memberikannya kepadatan piksel sebanyak 217 PPI. Nisbah skrin masih kekal sama dalam 3:2.

Kuasa pemprosesnya digerakkan oleh cip Intel Pentium Gold 4415Y, generasi ke-7. Ia ditawarkan dengan RAM antara 4GB atau 8GB, serta storan dalaman eMMC 64GB atau SSD 128GB. Badannya diperbuat dari besi magnesium, dan berat badan ini hanya 522 gram tanpa aksesori lain seperti papan kekunci.

Untuk sistem operasi pula, Surface Go dipasang dengan Windows 10 S Mode, sesuatu yang hampir sama dengan Surface Laptop. Windows 10 S Mode tidak membenarkan pemasangan aplikasi melainkan dari Microsoft Store sahaja. Tetapi jika perlu, Microsoft masih membenarkan pertukaran ke Windows 10 biasa secara percuma. Cuma tidak boleh berpatah balik ke Windows 10 S Mode selepas itu.

Untuk sambungan pula agak terhad kerana tiada lagi port USB-A bersaiz penuh, digantikan dengan port USB-C. Berita baiknya pula, Microsoft juga telah membuang mini DisplayPort. Slot kad memori mikroSD juga terdapat di Surface Go. Dari sini, pengguna boleh mendapatkan hub atau adaptor USB-C untuk sambungan ke port lain.

Untuk kuasa sebegini, Microsoft meletakkan tanda harga bermula dari USD399 (~RM1,606) padanya. Satu harga yang sangat murah, dan ramai yang membandingkannya dengan laptop lain mahupun tablet iPad untuk harga sebegitu.

Perlu diingat, harga ini belum termasuk papan kekunci Type Cover. Ia memerlukan tambahan USD99 (~RM398) untuk berfungsi sebagai laptop penuh, menjadikan harganya sekitar RM2,000.

BACA  Diskaun hingga 50% untuk Celcom Home Fibre tanpa had di Sabah

Sukar untuk mengatakan ia adalah pesaing iPad kerana Microsoft Store tidak memiliki aplikasi sebaik dan sebanyak Apple AppStore. Ia mungkin akan bersaing dengan laptop pada harga sekitar RM2,000 tetapi apa kelebihannya?

Kelebihan Surface Go yang dapat dilihat berbanding laptop lain adalah badannya yang ringan dan nipis, serta kebolehan pelbagai guna antara tablet dan laptop. Cuma, 64GB adalah saiz storan yang sangat kecil dan eMMC pula sangat perlahan berbanding SSD. Kalau ambil Surface GO yang dikuasakan SSD, harganya mungkin hampir ke RM3,000 dan ia sudah dekat dengan harga Surface Pro ataupun laptop Ultrabook yang ringan dan nipis dan lebih berkuasa.

Adakah Surface Go menarik minat anda? Jika ya, nantikan ketibaannya di pasaran Malaysia kerana tempahan awal akan dibuka pada 2 Ogos 2018. Sementara itu, boleh baca lebih lanjut lagi tentangnya di laman produk Microsoft Surface Go.