Pendaftaran pelan unifi Basic RM79 sebulan dibuka sekarang

Telekom Malaysia (TM) telah memperkenalkan pelan unifi basic bagi memenuhi keperluan internet jalur lebar yang lebih mampu dimiliki. Ia dicaj RM79 sebulan dan memberi kelajuan sehingga 30Mbps.

Kepada yang berminat, pendaftaran pelan unifi basic telah dibuka sekarang dan ia akan sedia digunakan bermula 1 Ogos 2018.

Pelan unifi basic adalah pelan internet sahaja, tanpa panggilan atau unifi tv, yang memberikan kelajuan muat turun 30Mbps dan muat naik 10Mbps. Satu perbezaan ketara pelan unifi basic berbanding pelan unifi lain ialah terdapat had kuota padanya, sebanyak 60GB sebulan sahaja. Selepas habis kuota bulanan digunakan, kelajuan internet akan disekat.

Satu perkara lagi, pelan ini hanya terbuka kepada rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dan mempunyai pendapatan isi rumah kurang dari RM4,500 sahaja. Antara salinan dokumen yang perlu anda sertakan semasa mendaftar unifi Basic:

  • MyKad;
  • Slip gaji atau perakuan pendapatan isi rumah; ATAU
  • Dokumen sokongan daripada pihak berkuasa tempatan (jika bekerja sendiri); ATAU
  • surat penerimaan BR1M; ATAU
  • Apa-apa dokumen yang diminta pihak TM

Set-top-box unifi TV tidak termasuk di dalam pelan unifi basic, tetapi pengguna akan diberikan langganan percuma aplikasi [email protected] ke semua saluran selama 30 hari. Selepas itu, pengguna masih boleh menonton 17 saluran yang diberikan percuma kepada semua.

Walaupun pelan ini dimaklumkan sebagai pelan internet sahaja, pengguna masih boleh membuat panggilan pada kadar 20sen seminit. Tiada telefon percuma diberikan tetapi pengguna boleh memasang sendiri mana-mana telefon.

Seperti kebiasaan, kontrak 24 bulan dikenakan dan terdapat penalti jika mahu menghentikan langganan lebih awal. Menurut terma & syarat, pengguna dibenarkan untuk menukar pakej kepada mana-mana pihak ketiga semasa masih di dalam kontrak, asalkan pihak tersebut menepati syarat-syarat pendaftaran pelan.

Sebagai promosi masa terhad, TM memberikan hadiah percuma berupa jersi unifi Liga Super kepada mereka yang mendaftar pelan unifi basic dari sekarang sehingga 14 Ogos 2018. Serta sementara stok masih ada.

Kepada pengguna yang banyak menggunakan internet, pelan asas seperti ini memang bukan untuk anda. Malah, TM tidak menyediakan sebarang data tambahan jika habis kuota bulanan digunakan. Kelajuan akan disekat sehingga kitaran bulanan seterusnya.

Untuk yang berminat dengan pelan unifi basic, pendaftaran hanya boleh dibuat menerusi laman web unifi basic. Lebih banyak maklumat lanjut turut boleh disemak di ruangan FAQ mereka.

TM unifi Lite

Untuk pilihan internet tanpa had yang mampu dimiliki, anda boleh melanggan pelan unifi Lite yang berkadar RM129 sebulan. Ia memiliki kelajuan 10Mbps dan akan dinaik taraf ke unifi Turbo berkelajuan 100Mbps secara percuma.

Atau langgan tawaran istimewa unifi advance 30Mbps RM139 sebulan. Ia akan diberi naik taraf Turbo kepada kelajuan 300Mbps secara percuma.

TM unifi Wireless Broadband

Sebagai alternatif, jika tempat anda tiada liputan jalur lebar tetap unifi, anda boleh cuba mendaftar pelan unifi Wireless Broadband yang turut diberi kuota 60GB , pada kadar RM79 sebulan juga. Lebih baik lagi, tiada kontrak dikenakan tetapi anda perlu membeli Router Wireless Huawei pada harga RM565. Router ini menyokong sehingga 64 sambungan peranti.

Selepas kuota 60GB habis digunakan, kelajuan internet akan disekat ke 128kbps sahaja. Tetapi anda boleh membeli data tambahan sehingga 20GB dengan membayar RM40 untuk menikmati semula kelajuan sepenuhnya. Untuk maklumat lanjut tentang pelan wayarles ini, layari laman web unifi Wireless Broadband.