Raja telefon murah kini kembali dengan telefon yang murah yang baru. Xiaomi hari ini mengumumkan ketibaan Redmi 6 dan Redmi 6A ke Malaysia, bagi menggantikan model popular mereka, Redmi 5 dan Redmi 5A.
Redmi 6 dan Redmi 6A akan mula dijual di Malaysia pada 25 Julai 2018. Harga yang ditetapkan pula ialah RM499 bagi Redmi 6 (3GB+32GB) dan RM349 bagi Redmi 6A (2GB+16GB). Tiga warna boleh dipilih untuk kedua-dua model ini iaitu Emas, Hitam dan Biru.
Redmi 6 3GB+32GB (RM499)
Berbanding naik taraf, Redmi 6 dilihat seperti versi turun taraf berbanding Redmi 5. Redmi 6 memiliki skrin lebih kecil berukuran 5.45-inci, tetapi kekal bernisbah 18:9 dan resolusi HD+. Dengan skrin lebih kecil, baterinya juga dikurangkan ke 3,000mAh sahaja.
Redmi 5 datang dengan kuasa Snapdragon 450 di dalam, tetapi untuk Redmi 6 yang baru, ia menggunakan kuasa Mediatek Helio P22 12nm yang dikatakan lebih jimat tenaga. RAM 3GB dan storan 32GB masih kekal. Malah, ia memiliki tiga slot kad untuk memuatkan 2 kad sim dan 1 kad mikroSD sehingga 256GB.
Kelebihan utama Redmi 6 berbanding Redmi 5 adalah pada kameranya. Redmi 6 memiliki dwi-kamera belakang, 12MP + 5MP dengan saiz piksel sebesar 1.25-mikron. Sensor terbesar untuk peranti dalam kelas seangkatannya. Untuk kamera hadapan pula, ia dibekalkan sensor 5MP dan memiliki fungsi potret bagi gambar dengan efek bokeh yang sangat menarik.
Pengimbas capjari terdapat di belakang dan ia juga menyokong fungsi pengimbas wajah. Badan Redmi 6 diperbuat dari plastik polikarbonat dengan kemasan besi diberus.
Redmi 6A 2GB + 16GB (RM349)
Redmi 6A pula boleh dikatakan raja baru untuk telefon pintar Android termurah di pasaran, menggantikan Redmi 5A yang sangat popular malah dinobatkan sebagai telefon pintar paling banyak dijual di Lazada tahun lepas.
Redmi 6A juga dilihat ada kurang dan lebih untuk dibandingkan dengan Redmi 5A. Kelebihannya ialah seperti skrin lebar 18:9 yang lebih besar, berukuran 5.45-inci dan resolusi HD+. Baterinya masih sama 3,000mAh.
Cip pemproses pula ditukar kepada Mediatek Helio A22 12nm, dengan RAM dan storan masih sama, 2GB dan 16GB. Tiga slot kad terdapat di dalamnya, dua untuk kad sim nano dan satu untuk kad mikroSD sehingga 256GB.
Kamera Redmi 6A seperti masih sama dengan Redmi 5A, 13MP untuk kamera belakang dan 5MP untuk kamera depan. Tiada pengimbas capjari pada Redmi 6A tetapi ia menyokong fungsi pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin.
Dengan ketibaan Redmi 6A, Xiaomi kini boleh bersaing semula dengan jenama lain yang tampil dengan telefon murah berskrin lebar 18:9 seperti honor 7S (RM379) dan ASUS Zenfone Live L1 (RM399).