ASUS bawa pembunuh telefon Xiaomi bawah RM400 minggu ini

Baru je nak kena sailang dengan honor 7s semalam, hari ini ASUS Malaysia tampil dengan pesaing telefon pintar bawah RM400. Petunjuk awal diberi oleh DirectD, sekarang ia diumumkan dengan jelas dan terang, telefon pintar ASUS Zenfone Live L1 berharga hanya RM399 sahaja dengan GST 0%.

Diperkatakan sebagai pesaing utama bagi Xiaomi Redmi 5A yang kini berharga RM329, ASUS Zenfone Live L1 memiliki beberapa kelebihan dengan tanda harga yang sedikit tinggi.

Ia bermula dengan skrin yang lebih luas dan lebar, berukuran 5.5-inci dalam nisbah 18:9 dan resolusi HD+ 1440×720. Ia menjalankan sistem operasi ZenUI 5 berasaskan Android 8.0 Oreo. Ia juga menyokong pengecaman wajah untuk membuka kunci skrin.

Tetapi sampai di sini sahaja perbezaannya, lain-lain perkara dilihat sama sahaja antara Zenfone Live L1 dan Xiaomi Redmi 5A. Kuasa pemprosesnya digerakkan oleh cip Snapdragon 425, RAM pula 2GB dan storan dalaman 16GB. Ia memiliki tiga slot kad yang boleh memuatkan dua kad sim 4G LTE dan kad mikroSD sehingga 2TB serentak.

Kamera belakangnya 13MP F2.0 menggunakan autofokus pengesanan fasa (PDAF) bersama LED Flash. Kamera hadapan pula 5MP F2.4 dan disertakan LED Flash bercahaya lembut bagi swafoto cerah dan menawan.

Kapasiti bateri juga sama, sebesar 3,000mAh dan dicas melalui port mikroUSB. Port audio 3.5mm juga masih terdapat padanya. Cuma, ia tiada pengimbas capjari tapi boleh menggunakan pengecaman wajah.

Telefon pintar ASUS Zenfone Live L1 akan dijual di Malaysia bermula hujung minggu ini, dengan harga RM399. Jika anda mahukan skrin lebih lebar, tidak gemar antaramuka MIUI dan membayar RM70 lebih dari Redmi 5A, maka Zenfone Live L1 boleh menjadi pilihan anda. Atau satu lagi alternatif dengan RM20 lebih murah dan antaramuka EMUI iaitu honor 7S berharga RM379.

BACA  DJI Mavic 2 Beri Kuasa Videografi Hollywood Dihujung Jari

Maklumat lanjut telefon ini boleh didapati di laman produk ASUS Zenfone Live L1.