Warna Biru dan Kuning tarikan utama Galaxy Note9

Sebelum ini kita telah melihat khabar terbocor berkenaan rupa Galaxy Note9 berwarna hitam tetapi dengan skrin yang retak. Sekarang terdapat satu lagi khabar yang diterima, memperlihatkan rupa Galaxy Note9 dalam tiga warna berbeza.

@evleaks, individu yang sering membawa khabar tentang peranti yang masih belum dilancarkan, berkongsi rupa Galaxy Note9 dalam tiga warna, dan satu daripadanya dengan S-Pen yang berlainan warna.

Dari tweet beliau, terdapat tiga warna Galaxy Note9 iaitu Hitam, Biru dan Perang (atau Gangsa). Warna Hitam dan Perang memiliki S-Pen yang berwarna sama, tetapi warna Biru dipadankan dengan S-Pen berwarna kuning, seperti yang terdapat dalam iklan majlis pelancaran Galaxy Note9.

Dalam satu laporan lain pula, laman niuwemobiel berkongsi satu lagi warna iaitu Lilac Purple. Laman mysmartprice pula berkongsi gambar beresolusi tinggi Galaxy Note9 berwarna Coral Blue. Sammobile pula melaporkan, Samsung mungkin akan melancarkan lima warna untuk Galaxy Note9, satu lagi ialah warna Kelabu.

Dari gambar ini, kita dapat lihat dua lensa kamera belakang memiliki saiz berbeza. Ini kerana kameranya mungkin sama seperti Galaxy S9+ di mana lensa utamanya memiliki apertur pelbagai F1.5-F2.4, manakala lensa kedua bersudut lebar dan bertindak seperti zum optikal. Satu lagi perbezaan, pengimbas capjari terletak di bawah kamera, bukan lagi di sisi seperti Galaxy Note8 dan Galaxy S9+.

Samsung akan melancarkan Galaxy Note9 di Amerika Syarikat pada 9 Ogos 2018. Tempahan awal untuk Galaxy Note9 dijangka akan diumumkan pada hari yang sama, di mana Malaysia biasanya termasuk dalam gelombang terawal jualan peranti Samsung Galaxy.