Galaxy Note9 Cemerlang Tak Kira Untuk Kerja Mahupun Gaming

Galaxy Note yang paling berkuasa pernah dihasilkan secara rasminya diperkenalkan. Diberi nama Galaxy Note9, ia membawakan sejumlah penambahbaikan berbanding Note8 yang dilancarkan pada September 2017 yang lalu.

Daripada segi luaran, Note9 masih mengekalkan fizikal candybar dengan paparan sebesar 6.4″, sedikit besar bebanding 6.3″ pada model terdahulu. Panel paparan super AMOLED-nya memiliki resolusi QHD+ dengan nisbah paparan 18.5:9.

Flagship ini diperkasa Exynos 9810 dengan RAM sama ada 6GB ataupun 8GB. Pada storan dalaman, anda boleh mendapatkan varian dengan storan 128GB ataupun 512GB. Jika perlu, anda boleh memperluas storan itu menggunakan kad SD yang boleh ditampung sehingga 512GB luasnya.

Bahagian pek kuasa turut menerima pembaharuan, Samsung boleh berbangga untuk memasukkan bateri terbesar dalam sejarah Note apabila bateri 4,000mAh hadir menggantikan bateri 3,300mAh pada Galaxy Note8.

Oleh sebab itu, Samsung turut mempromosikan Note9 sebagai peranti untuk ber-gaming dek kehadiran trifaktor hebat iaitu kuasa pengkomputeran, tenaga bateri, dan saiz skrin.

Namun begitu, Note9 masih tidak melupakan asal usulnya sebagai telefon yang disasarkan untuk produktiviti. Jika telefon disambung pada monitor menggunakan kabel USB-C ke HDMI, telefon akan terus ditukar menjadi desktop dan paparan Note9 boleh bertindak sebagai pad sesentuh mengawal kursor.

Tak cukup dengan itu, S Pen turut diberi nafas baru. Ia kini diperkasa Bluetooth Low Energy. Terdapat bateri dalam badannya tapi boleh dicas penuh dalam masa 40 saat saja apabila berada dalam ruang penyimpanannya.

Clicker pada S Pen memiliki beberapa fungsi seperti:

  • kawal pembentangan Powerpoint
  • butang ambil gambar

Banyak lagi kemungkinan boleh diteroka menggunakan S Pen kerana SDK untuknya akan dibuka kepada pembangun pihak ketiga.

Pada jabatan pengimejan, Note9 mewarisi komponen optik daripada Galaxy S9+. Kameranya disusun secara melintang dan pengimbas cap jari terletak di bahagian bawahnya. Maka anda menerima kamera berspesifikasi seperti berikut:

  • kamera belakang 1 – 12MP F1.5 – F2.4
  • kamera belakang 2 – 12MP F2.4
  • kamera depan – 8MP F1.7
BACA  Galaxy Tab S4 Mungkin Adalah Tablet Android Paling Berkuasa Dalam Pasaran Malaysia

Sungguhpun menggunakan hardware lama, tapi pada bahagian perisian, terdapat benda baru yang tiada pada telefon Samsung sebelum ini.

Kameranya kini ada fungsi scene optimizer. Ia berfungsi dengan cara menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menganalisis estetik gambar dan memberitahu sekiranya terdapat kecacatan pada gambar seperti subjek menutup mata ataupun subjek tidak difokus kamera.

Samsung Galaxy Note9 akan mula dijual di Malaysia bermula 24 Ogos 2018 pada harga seperti berikut:

  • Storan 128GB – RM3,699
  • Storan 512GB – RM4,599

Apa pendapat anda tentang Galaxy Note9? Adakah ia mahakarya Samsung untuk 2018?

Spesifikasi Galaxy Note9

Paparan6.4"
QHD+
2960 x 1440
PemprosesExynos 9810
RAM6GB
8GB
Storan128GB
512GB
Sistem OperasiAndroid 8 Oreo
Kamera belakang12MP F1.5-F2.4
12MP F2.4
Kemera depan8MP F1.7
Bateri4,000mAh