Digi Prepaid Internet Reload, cara mudah tambah kuota internet

Digi hari ini melancarkan Prepaid Internet Reload atau Tambah nilai Internet Prabayar, cara baru untuk pelanggan prabayar menambah kuota data mereka bila-bila masa. Ini memberi lebih pilihan kepada pengguna Digi untuk melanggan internet.

Dengan cara ini, pengguna tidak perlu membeli kredit kemudian melanggan pelan internet, sebaliknya melanggan internet terus dengan lebih mudah. Pengguna Digi boleh mendapatkan Tambah nilai Internet Prabayar di 4,984 lokasi di seluruh negara bermula hari ini.

Buat masa ini, Digi menyediakan dua pilihan untuk pelan baru ini:

  • RM3 – 3GB selama 24 jam (2GB + 1GB biGBonus 1pm-7pm)
  • RM10 – 8.5GB selama 7 hari (1.5GB + 1GB BiGBonus 1pm-7pm setiap hari)

Lokasi jualan Tambah nilai Internet Prabayar adalah di 99 Speedmart, Happy Mart, KK Mart, MyNews, Watsons, AEON Big, Cold Storage, Giant, Tesco serta stesen minyak BHPetrol, Caltex dan Petron. 7-Eleven, Petronas dan Shell pula akan menjualnya bermula bulan September depan.

Pembeli akan menerima kod unik 16-digit yang akan digunakan semasa tambah nilai sama ada menerusi aplikasi MyDigi atau dengan mendail *123*. Selepas diaktifkan, ia boleh ditebus untuk mula digunakan.

Tawaran Digi ini kelihatan sama seperti apa yang pernah Hotlink tawarkan menerusi Hot Ticket. Tidak perlu menambah nilai kredit untuk melanggan pelan sebaliknya ia terus memberikan kuota internet, panggilan dan SMS. Adakah anda rasakan cara ini lebih mudah dan menarik?

Pelan internet baru Digi ini boleh digunakan untuk semua pelanggan prabayar Digi kecuali pelan DG Smart dan Prepaid Internet. Untuk maklumat lanjut, boleh disemak di sini.

BACA  Diskaun RM400 dalam promosi terhad semua model Galaxy Note9