Laptop ASUS Vivobook S15 ada skrin besar tapi masih sangat ringan

Mahukan laptop dengan skrin bersaiz 15-inci tetapi tidak terlalu membebankan bahu bila di bawa? Ia adalah apa yang ingin diperkenalkan ASUS melalui laptop yang baru mereka bawa ke Malaysia, Vivobook S15 (S530).

Laptop ASUS Vivobook S15 disasarkan kepada golongan belia dan remaja yang mahukan penampilan yang berbeza dari kebiasaan. Ini ditampilkan melalui warna-warna terang dan garang di mana Vivobook S15 hadir dalam warna Hijau, Merah, Kuning dan Emas.

ASUS juga memperkenalkan engsel Ergo Lift pada laptop ini, di mana apabila skrin dibuka, ia mengangkat papan kekunci ke sudut yang selesa untuk menaip di samping memberi lebih ruang untuk sistem penyejukan.

Skrinnya berukuran 15.6-inci dengan resolusi tajam HD Penuh. Ditambah paparan Nano Edge, ia memiliki tiga sisi dengan bingkai amat nipis yang memberikan 86% nisbah skrin ke badan.

Ketebalan Vivobook S15 pada tahap paling nipis hanyalah 18mm, dengan berat pula sekitar 1.6kg sahaja. Dengan berat sebegini, ia pasti tidak terlalu membebankan bahu apabila disimpan dan dibawa di dalam beg.

Prestasi laptop ini tidak boleh dipandang rendah. Ia menggunakan cip pemproses Intel Core i7 atau i5 generasi ke-8, bersama RAM sebanyak 4GB (boleh dinaiktaraf hingga 16GB) serta kad grafik dedikasi NVIDIA GeForce MX150. Ia menyokong dwi-storan yang menggabungkan storan SSD yang pantas sehingga 256GB, serta storan HDD 1TB.

Untuk sambungan, ia memiliki semua port yang diperlukan seperti USB-C, USB-A 3.1 Gen 1, USB 2.0, HDMI serta pembaca kad memori mikroSD. Sambungan wayarles turut terdapat padanya seperti WiFi 802.11ac yang lebih pantas serta Bluetooth 4.2.

Bateri lithium-prismatic yang digunakan memiliki jangka hayat 3x lebih panjang dari bateri lithium-ion biasa. Dengan teknologi pengecasan pantas, ia boleh mengecas dari 0 sehingga 60% dalam masa 49 minit.

BACA  Laptop Gaming Omen 2018 Tampil Dengan Paparan Berbingkai Langsing

ASUS Vivobook S15 menjalankan sistem operasi Windows 10 dan datang bersama pengimbas capjari untuk ciri keselamatan tambahan. Harga jualannya di Malaysia dan spesifikasi adalah seperti berikut:

  • CPU i5-8250/RAM 4GB/Storan HDD 1TB+SSD 128GB/GPU MX150 – RM2,999
  • CPU i5-8250/RAM 4GB/Storan HDD 1TB+SSD 256GB/GPU MX150 – RM3,299
  • CPU i7-8550/RAM 4GB/Storan HDD 1TB+SSD 256GB/GPU MX150 – RM3,899

Untuk maklumat lanjut, layari laman produk ASUS Vivobook S15.